20 tahun MotoGP bertapak di Sepang
Bernama
April 18, 2019 04:21 MYT
April 18, 2019 04:21 MYT
Litar Antarabangsa Sepang (SIC) telah menjadi pemangkin pembangunan permotoran di Malaysia seiringi dengan perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) yang menandakan genap 20 tahun di Sepang pada Khamis yang membangkitkan minat baharu di kalangan rakyat Malaysia kepada sukan permotoran.
"Secara semulajadi, kejayaan memiliki pasukan MotoGP sepenuhnya adalah luar biasa dan saya sangat bangga untuk menjadi sebahagian daripada sejarah ini.
"Tetapi secara jujur, saya tidak melihat ini sebagai kemuncak untuk pembangunan sukan permotoran di Malaysia. Lebih banyak peristiwa yang lebih hebat akan berlaku pada masa akan datang terutama dalam sukan permotoran di Malaysia. Bagi MotoGP masa depannya bersinar terang untuk Malaysia," kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali yang juga Team Principal Petronas Yamaha Sepang Racing Team.
Razlan dalam satu kenyataan berkata bahawa detik-detik bersejarah dilakar oleh Malaysia dalam MotoGP apabila SuperKIP (Khairul Idham Pawi) mengungguli Grand Prix Argentina dan Jerman dalam Moto3, Zulfahmi Khairuddin menduduki tangga kedua di Sepang dan hampir menang pada 2012 serta Hafizh Syahrin Abdullah menduduki podium dalam Moto2 dan menjadi rakyat Malaysia pertama dalam sejarah beraksi dalam kelas MotoGP.
"Akan ada pencapaian yang lebih besar pada masa akan datang jika kita terus berusaha membina kejayaan dan minat MotoGP yang semakin meningkat di Malaysia," katanya.
Razlan mengakui bahawa Zulfahmi adalah pencetus perubahan dalam sejarah MotoGP Malaysia apabila SIC mengambil langkah lebih berani untuk meletakkan pelumba muda Zulfahmi pada musim penuh dalam kelas 125cc menggunakan jentera Aprilia di bawah Air Asia-Litar Antarabangsa Sepang.
"Dia ketika itu bukan pelumba handalan Malaysia, tetapi beliau mencetuskan minat terbesar dalam permotoran apabila semain ramai rakyat Malaysia mengikuti jejaknya pada kejohanan dunia dan Malaysia kini berbangga mempunyai pasukan MotoGP sendiri dan kejayaan Hafizh Syahrin beraksi dalami kelas MotoGP, benar-benar mengagumkan," katanya.
Beliau berkata ketika Sepang meraikan 20 tahun dalam MotoGP, mungkin secara kebetulan Petronas Yamaha Sepang Racing Team memiliki nombor 20 sebagai nombor persaingan dalam kelas MotoGP utama dengan penyertaan Fabio Quartararo berusia 19 tahun.
"Musim 2019 diharap akan menjadi istimewa untuk Malaysia, yang akan menganjurkan Shell Malaysia MotoGP dari 1 hingga 3 Nov," katanya.
Sejak 1991, Grand Prix Motosikal Dunia atau MotoGP seperti dikenali sekarang, telah diadakan di Litar Batu Tiga, Shah Alam dan Litar Johor di Pasir Gudang.
Selepas perasmian SIC, kejohanan dunia menemukan venue baharu yang menyaksikan peningkatan populariti di Malaysia, terutama selepas memperkenalkan Program Wildcard kebangsaan oleh SIC pada 2009.
MotoGP sulung di SIC adalah pembuka tirai bagi musim 1999, dan ia bermula pada 17 April dengan sesi latihan bebas untuk semua ketiga-tiga kategori 125cc, 250cc dan 500cc.
Kenny Roberts Jr dari Suzuki Grand Prix Team dinobatkan sebagai pemenang pertama kelas 500cc pada April 1999. Kelas 250cc dimenangi oleh pelumba Itali, Loris Capirossi sementara pelumba Jepun, Masao Azuma mengungguli perlumbaan 125cc. -- Bernama
#Litar Antarabangsa Sepang
#MotoGP
#Petronas Yamaha Sepang Racing Team
#Razlan Razali
#Sepang International Circuit
#SIC
#Team Principal