17 jawatan jadi rebutan pada kongres ke-57 FAM
Bernama
Januari 13, 2021 04:10 MYT
Januari 13, 2021 04:10 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak 17 jawatan bakal dipertandingkan pada pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2021-2025 yang akan diadakan di sebuah hotel di Petaling Jaya, 13 Mac depan.
Jawatan berkenaan melibatkan satu kerusi Presiden, Timbalan Presiden (dua), Naib Presiden (empat) serta 10 kerusi Exco (termasuk dua kerusi yang diperuntukkan khas buat wanita) yang bakal dipertandingkan pada Kongres ke-57 FAM itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan FAM Profesor Datuk Dr Abdullah Mohamad Said berkata borang pencalonan bagi pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk penggal baharu 2021-2025 telah diedarkan kepada semua 20 ahli gabungan badan induk itu.
Beliau turut memaklumkan Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2017-2021 yang bermesyuarat kali terakhir di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam meluluskan Kod Pemilihan FAM bagi proses pelaksanaan pemilihan penggal baharu itu.
"Borang pencalonan yang diedarkan itu perlu diisi dengan lengkap nama-nama calon bagi jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Exco, masing-masing oleh setiap 20 ahli gabungan FAM selewat-lewatnya 5.30 petang pada Khamis, 11 Feb 2021," menurutnya dalam kenyataan pada Rabu.
Berdasarkan Artikel 27(4) Statut FAM, calon yang ingin bertanding jawatan Presiden memerlukan sekurang-kurangnya enam pencalonan daripada ahli gabungan badan induk itu, Timbalan Presiden (lima pencalonan), Naib Presiden (empat) dan dua pencalonan bagi jawatan Exco.
Pembentukan Jawatankuasa Pemilihan FAM diluluskan pada Kongres ke-56 badan induk itu tahun lepas.
Selain Abdullah, jawatankuasa bebas itu dianggotai tiga individu lagi iaitu bekas Timbalan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Ab Jalil Abdullah, bekas Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan dan Kedah Salleh Ramli serta Pengurus Besar Majlis Olimpik Malaysia Fong Wan Hor.
-- BERNAMA
#FAM
#Persatuan Bola Sepak Malaysia
#pemilihan jawatankuasa eksekutif
#presiden
#timbalan presiden
#Dr Abdullah Mohamad Said