120 Pelumba Sertai Edisi Kedua Jelajah Borneo

Bernama
Ogos 15, 2013 09:37 MYT
Edisi kedua Jelajah Borneo (ToB), yang bermula dari 18 hingga 22 Ogos ini, menyaksikan seramai 120 pelumba basikal mengambil bahagian, termasuk juara Jelajah Malaysia 2013 Loh Sea Keong.
Pengerusi penganjurnya, Datuk Freddie Sua berkata Loh, yang mewakili pasukan OCBC Singapore Continental Cycling Team, bakal berdepan cabaran hebat pelumba tempatan serta luar negara seperti Sepanyol dan Jerman.
Beliau berkata bagaimanapun, pemenang ToB edisi pertama Michael Torckler dari Pure Black Racing Team tidak akan mempertahankan kejuaraannya selepas mengalami kecederaan akibat kemalangan.
"Kejohanan ini disertai 20 pasukan dan akan melalui beberapa laluan mencabar iaitu pada peringkat keempat, yang membabitkan laluan ke Kundasang (kaki Gunung Kinabalu).
"Pelumba sudah merasai pengalaman ini pada kejohanan tahun lepas, dan ini juga peluang terbaik untuk mereka mengumpul mata bagi melayakkan diri bertanding di kejohanan lebih besar," katanya pada sidang akhbar Rabu.
Sua berkata ToB akan bermula dari Kota Kinabalu ke Tuaran, dan melalui Kota Belud yang melibatkan jarak 108.7 kilometer manakala peringkat kedua perlumbaan meliputi laluan dari Taman Perdana, Tanjung Aru ke Papar (189.5 kilometer).
Peringkat ketiga pula menyaksikan peserta menempuh perjalanan sejauh 132.6 kilometer dari Penampang ke Inanam manakala pada peringkat berikutnya, pelumba berdepan pendakian sukar dari Kota Kinabalu ke Kundasang (147.1 kilometer) dan kemuncak kejohanan adalah dari Kundasang ke Kota Kinabalu (112 kilometer).
Beliau berkata hadiah wang tunai keseluruhan bagi kejohanan itu ialah RM120,000 bagi empat kategori iaitu juara keseluruhan (jersi kuning), raja pecut (jersi hijau), raja bukit (jersi merah) dan pelumba terbaik Asia.
Pasukan benua terdiri daripada Synergy Baku Cycling Team (Azerbajian), Terengganu Cycling Team (Malaysia), Tabriz Petrochemical Team (Iran), CCN Cycling Team (Brunei), OCBC Singapore Continental Cycling Team (Singapura), Huon Salmon Genesys Wealth Advisers Pro Cycling (Australia), Team 7 Eleven-Road Bike Philipines (Filipina), Team LBC (Filipina), Polygon Sweet Nice (Ireland) dan RTS Racing Team (Taiwan).
Pasukan negara yang menyertai kejohanan itu ialah Malaysia, Uzbekistan, Kazakhstan dan Bahrain selain Sabah serta Terengganu bagi negeri manakala kelab pula ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Team Corbusier Sarawak (Malaysia) dan Customs Cycling Club (Indonesia).
#Datuk Freddie Sua #jelajah borneo
;