12 atlet lagi tersenarai ke Sukan Komanwel Birmingham

Bernama
Jun 17, 2022 06:30 MYT
Sukan Komanwel Birmingham 2022 berlangsung dari 28 Julai hingga 8 Ogos.
KUALA LUMPUR: Saiz kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Birmingham 2022 bertambah dengan penyertaan tiga lagi sukan dan 12 atlet berpotensi untuk ke temasya sukan itu bermula 28 Julai hingga 8 Ogos ini.
Perkembangan itu sekali gus menjadikan keseluruhan 107 atlet terdiri daripada 69 lelaki dan 38 wanita, yang akan membawa cabaran negara di Birmingham dengan sasaran tujuh emas.
Pemilihan mereka yang diletakkan dalam senarai pertimbangan sebelum ini diputuskan oleh Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang dipengerusikan presidennya Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.
"Atlet-atlet tersebut adalah terdiri daripada golongan atlet muda dan pemenang pingat di temasya Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam yang lalu," menurut kenyataan MOM semalam.
Sementara itu, penambahan tersebut melibatkan sukan judo, tinju dan triathlon iaitu masing-masing diwakili dua atlet, selain olahraga yang menambah tiga atlet, terjun (1) dan renang (2).
Sebelum ini skuad olahraga ke Birmingham dibarisi empat atlet sementara terjun dan renang masing-masing 11 dan dua atlet.
Selasa lepas, Mohamad Norza berkata sasaran tujuh pingat emas dijangka dicapai menerusi sukan badminton yang diharap menyumbang dua emas, manakala masing-masing sebutir emas menerusi gimrama, boling padang, angkat berat, skuasy dan powerlifting (sukan para).
-- BERNAMA
#atlet #Sukan Komanwel Birmingham #Mohamad Norza Zakaria #Majlis Olimpik Malaysia
;