100 atlet sertai Kejohanan Muay Thai T-Fight 2025 di Tunjong
Bernama
Februari 5, 2025 12:45 MYT
Februari 5, 2025 12:45 MYT
KOTA BHARU: Sebanyak 100 atlet amatur bakal berentap pada edisi kelima Kejohanan Muay Thai T-Fight 2025 yang akan berlangsung di pekarangan Mydin Mall Tunjong di sini pada 14 Feb.
Pengarah Kejohanan T-Fight Mohd Khairul Hafiz Hassan berkata kejohanan itu bertujuan melahirkan bakat baharu sebagai persediaan menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang, selain menyemarakkan semangat atlet dalam memartabatkan sukan negara.
"Pertandingan bagi kategori amatur akan berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 6.30 petang, membabitkan 50 regu dengan penyertaan 100 atlet daripada lebih 60 kelab.
"Bagi kategori profesional pula, lapan regu terdiri daripada 16 peserta dari zon tengah, timur, utara dan Borneo akan bertarung dari pukul 8.30 malam hingga 11.50 malam bagi merebut gelaran King of Super IV," katanya kepada Bernama hari ini.
Mohd Khairul Hafiz turut berkata kejohanan itu akan menampilkan atlet Muay Thai negara Ahmad Nor Iman Aliff Rakib atau lebih dikenali Aliff Rakib, yang pernah meraih kontrak One Championship bernilai US$100,000 (RM469,000) sebagai tetamu khas.
"Kami telah mendapat kelulusan daripada Majlis Perbandaran Kota Bharu pada 13 Jan lepas untuk menganjurkan kejohanan ini.
"Orang ramai yang berminat melihat aksi pertarungan Muay Thai boleh mendapatkan tiket di kaunter yang disediakan di lokasi acara, dengan harga RM15 bagi kanak-kanak dan RM25 untuk dewasa," katanya.
-- BERNAMA