10 tahun selepas Malaysia juarai Piala Suzuki AFF
Astro Arena
Disember 29, 2020 06:37 MYT
Disember 29, 2020 06:37 MYT
10 tahun lalu, pada tanggal 29 Disember, Malaysia buat kali pertama dalam sejarah dinobatkan sebagai juara Piala Suzuki AFF di Jakarta.
Tahun 2010 memberikan sekilas senyuman buat peminat bila sepak tanah air. Skuad emas 2010 itu mencetuskan fenomena luar biasa selepas memahatkan nama dalam buku sejarah bola sepak negara.
Selepas bermula hambar dengan kekalahan 1-5 di tangan Indonesia dalam perlawanan peringkat kumpulan di Stadium Utama Gelora Bung Karno (SUGBK), Malaysia tidak memandang ke belakang untuk mengorak langkah bagi menempatkan diri selaku pasukan kedua terbaik Kumpulan A di belakang pasukan tuan rumah itu.
Kemaraan itu mempertemukan Malaysia dengan Vietnam di peringkat separuh akhir dan kemenangan 2-0 dalam perlawanan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) ternyata sudah mencukupi untuk skuad negara menempah tempat ke final biarpun terikat tanpa jaringan dalam perlawanan kedua di Hanoi.
Dan perlawanan akhir mempertemukan kembali Malaysia dan Indonesia tetapi aksi di SNBJ kali ini menyajikan rencah berbeza.
Tanpa belas ihsan, Harimau Malaya mempamerkan aksi luar biasa di depan lebih 85,000 ribu penyokong tanah air dan berhasil membawa bekalan 3-0 ke SUGBK.
Meskipun tewas 1-2 dalam perlawanan kedua di SUGBK, ia tidak menghalang Malaysia untuk menjulang mahkota kejuaraan pertama kejohanan itu pada tanggal 29 Disember 2010.
Penyerang negara, Safee Sali, turut mencatat nama sebagai penjaring terbanyak setelah meledakkan lima gol sepanjang kejohanan itu.
Dalam satu temu bual khas Nadi Arena semalam, pemain yang sinonim dengan jersi nombor 10 itu mengimbau kembali kisah disebalik kejayaan berkenaan.
"Apabila kami kalah dengan jumlah jaringan yang besar dalam perlawanan pertama, memang agak kecewa. Sebagai pemain bola sepak, kami mahukan pertemuan itu semula bagi membalas dendam kekalahan 1-5 itu.
"Saya sebenarnya mengalami kecederaan sewaktu latihan dan terpaksa direhatkan ketika menentang Laos (perlawanan kedua peringkat kumpulan).
"Dalam sedar tidak sedar, sudah 10 tahun selepas pasukan kita memenangi Piala AFF. Perasaan itu memang sukar digambarkan.
"Sehingga sekarang, pasukan kita tidak dapat mengulangi pencapaian itu. Perasaan itu masih segar dalam ingatan saya.
"10 tahun jangka masa yang lama. Saya mahu melihat generasi sekarang dapat rasa betapa gembira dan hebatnya ia. Walaupun ia hanya sekadar Piala AFF tetapi bagi pemain, ia seperti Piala Dunia di peringkat Asia Tenggara," katanya.
Bekas pertahanan kanan negara, Mahali Jasuli, yang turut memainkan peranan besar dalam kejayaan itu, pula menambah: "Jurulatih (Datuk K. Rajagobal) ada kata, apabila kami pakai jersi kuning, kami tewas 1-5, jadi jurulatih mahu kami memakai jersi berwarna biru dalam perlawanan seterusnya kerana mungkin jersi biru akan memberikan kami tuah
"Dalam perlawanan pertama yang kami tewas 1-5 itu, saya tidak bermain. Kemudian jurulatih beritahu bahawa saya perlu bermain dalam perlawanan kedua (menentang Laos) kerana jika tewas, kami akan pulang awal.
"Kami sebagai pemain ada lakukan bedah siasat juga bagi menghadapi perlawanan berikutnya.
"Selepas (kejayaan) 2010, semua orang sudah mula berbangga memakai jersi Malaysia. Sehinggakan di pusat membeli-belah juga ada yang memakai jersi Malaysia.
"Ia menjadi satu kebanggan buat saya apabila melihat rakyat Malaysia kini sudah berbangga untuk memakai jersi Malaysia," katanya.
#safee sali
#Indonesia
#Jakarta
#bola sepak
#Bukit Jalil
#Piala Dunia
#rakyat Malaysia
#Vietnam
#Piala Suzuki AFF
#Malaysia