10 penjaga gol terbaik sepanjang Piala Dunia 2014

Aizat Sharif
Julai 8, 2014 14:59 MYT
Piala Dunia adalah medan bagai pemain seperti penjaga gol untuk menyinar.
Keupayaan penjaga gol Belanda, Tim Krul menepis dua sepakan daripada pasukan Costa Rica dalam penentuan sepakan penalti pada peringkat suku akhir membolehkan Belanda layak ke peringkat separuh akhir bertemu Argentina.
Malah, Krul juga dianggap sebagai wira oleh negaranya kerana kejayaannya itu dan sememangnya penjaga gol merupakan benteng solo terakhir dalam setiap pasukan bagi dalam usaha menangkis atau menepis bola daripada pihak lawan membolosi gol.
Malah, dalam Piala Dunia pada kali ini beberapa penjaga gol dikenal pasti sebagai antara yang terbaik dalam mengawasi gawang mereka dengan pelbagai percubaan-percubaan berbahaya daripada pasukan lawan.
LIHAT GALERI FOTO DAN PILIH PENJAGA GOL TERBAIK PIALA DUNIA FIFA 2014
Antara penjaga gol yang dianggap terbaik kerana ketangkasan mereka mengawal gawang dari dibolosi dan membuka mata pasukan-pasukan ternama untuk mengambil mereka termasuklah:
1. Keylor Navas (Costa Rica)
Penjaga gol Costa Rica yang bermain untuk kelab Levante di Liga Sepanyol ini begitu tangkas dalam mengawal gawangnya daripada dibolosi oleh pemain-pemain Belanda yang bertubi-tubi melancarkan serangan berbahaya dalam perlawanan peringkat suku akhir.
Ketangkasannya itu juga memaksa Belanda terpaksa membuat perhitungan dengan Costa Rica melalui penentuan sepakan penalti dan nasib Costa Rica agak tidak baik apabila dua daripada sepakan pemain mereka berjaya disekat oleh penjaga gol gantian Belanda, Tim Krul.
Walaupun tewas, Navas turut dianugerahkan sebagai ‘Man of The Match’ dalam perlawanan itu. Malah, beliau hanya melepaskan dua gol daripada lima perlawanan yang dilalui oleh Costa Rica termasuklah bertemu dengan pasukan gergasi seperti Uruguay, Itali, England dan Greece.
2. Tim Howard (Amerika Syarikat)
Penjaga gol Amerika Syarikat ini mencatatkan rekod sebagai penjaga gol paling banyak membuat ‘save’ dalam Piala Dunia 2014 iaitu 16 ‘save’ ketika menentang Belgium pada pusingan kalah mati.
Menjadi ‘Man of The Match’ sebanyak dua kali ketika menentang Portugal dan Belgium.
3. Rais M’Bolhi (Algeria)
Penjaga gawang kelab CSKA Sofia di Bulgaria ini dianugerahkan sebagai ‘Man of The Match’ ketika menentang Jerman kerana penyelamatan gol daripada cubaan berbahaya dari pelbagai sudut oleh pemain Jerman berjaya mengheret perlawanan tersebut hingga ke masa tambahan.
Pemain kelahiran Paris, Perancis yang nama sebenarnya adalah Adi Rais Cobos Adrien M’Bolhi ini tidak menggunakan alasan berpuasa sebagai untuk tidak menyerlah ketika menentang Jerman malah keupayaannya menyelamatkan banyak percubaan itu agak menakjubkan.
4. Guillermo Ochoa (Mexico)
Penjaga gol ini antara penjaga gol yang mendapat perhatian kelab-kelab terkemuka dunia selepas aksi cemerlangnya ketika bertemu Brazil dengan menyelamatkan pelbagai cubaan berbahaya daripada pemain Neymar, Oscar, Fred dan pemain Brazil yang lain sehingga membuatkan pemain Brazil yang lain ‘pening’ untuk menembusi gawang Mexico.
Diiktiraf sebagai ‘Man of The Match’ sebanyak dua kali ketika menentang Brazil dan Belanda dan langkah cemerlangnya terhenti selepas tewas kepada Belanda menerusi gol penalti pada akhir perlawanan oleh Klaas Jan-Huntelaar.
5. Manuel Neuer (Jerman)
Selepas aksi cemerlangnya dalam dua musim lalu membantu Bayern Munich merangkul Liga Juara-Juara Eropah menewaskan musuh tradisi, Borussia Dortmund, Neuer sekali lagi muncul sebagai Pemain Jerman Nombor 1 yang akan mengawasi pintu gol negara Bavaria itu.
Tiga aksi tanpa bolos berjaya dicatatkan oleh beliau ketika bertemu Portugal, Amerika Syarikat dan terakhir Perancis berjaya menobatkan beliau sebagai antara penjaga gol terbaik sepanjang Piala Dunia ini.
Dek ketangkasannya itu juga berjaya meloloskan Jerman ke peringkat separuh akhir dan bertemu dengan lawan yang sukar iaitu tuan rumah, Brazil dan Neuer dijangka sekali lagi akan menampilkan aksi menyelamat hebatnya dalam usaha untuk membawa Jerman ke final.
6. Thibaut Courtois (Belgium)
Penjaga gawang Chelsea yang dipinjamkan ke kelab Sepanyol Atletico Madrid selama dua musim ini begitu matang dalam kawalan pintu golnya meskipun umurnya baru menginjak 22 tahun.
Aksi cemerlangnya itu berjaya mengenepikan seorang lagi penjaga gol Belgium yang beraksi untuk Liverpool iaitu Simon Mignolet yang kini hanya memanaskan bangku simpanan sepanjang kejohanan Piala Dunia ini.
Courtois begitu kental mengawal gawang Belgium ketika perlawanan peringkat kumpulan dan hanya melepaskan satu gol sahaja ketika menentang Algeria dan aksi menyelamat terbaik ketika menidakkan peluang pemain Amerika Syarikat, Clint Dempsey pada minit-minit akhir berjaya membawa Belgium ke peringkat suku akhir bertemu Argentina.
Namun kecemerlangannya itu berakhir apabila penyerang Argentina, Gonzalo Higuain berjaya membolosi gawangnya pada awal perlawanan.
7. Julio Cesar (Brazil)
Penjaga gol kelab Queens Park Rangers yang dipinjamkan ke kelab Liga Bola Sepak Amerika Syarikat yang berpangkalan di Kanada iaitu Toronto FC berjaya membuktikan bahawa beliau juga adalah antara individu terpenting di negara samba itu.
Meskipun aksi sulungnya di hadapan penyokong sendiri ketika perlawanan pembukaan menentang Croatia dicacatkan dengan jaringan sendiri oleh pertahanan, Marcelo namun itu bukanlah halangan bagi beliau untuk beraksi cemerlang.
Kejayaan paling besar beliau adalah menjadi wira ketika penentuan sepakan penalti pada peringkat kalah mati bertemu seteru Amerika Selatan, Chile apabila berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti dan salah satunya dari pemain bintang Chile, Alexis Sanchez.
Kini beliau bakal berdepan halangan paling besar di peringkat separuh akhir apabila sekali lagi akan ditugaskan menjadi tonggak terakhir untuk mengekang percubaan berbahaya daripada barisan kesebelasan Jerman dan merealisasikan impian warga Brazil untuk berada di pentas final.
8. David Ospina (Colombia)
Ospina hanya melepaskan dua gol pada peringkat kumpulan ketika bertemu Ivory Coast dan Jepun sebelum disusuli dengan bolosnya dua gol ketika bertemu Colombia di peringkat suku akhir yang mengakhiri cabaran beliau.
Namun begitu, aksi yang ditampilkan ketika berhadapan Uruguay pada peringkat kalah mati nyata membuka mata peminat bola sepak dimana Uruguay bermati-matian mencari gol untuk menyekat penguasaan Colombia namun ketangkasan Ospina yang kelihatan berada di setiap penjuru dan ruang pintu gol menyukarkan Uruguay untuk memperoleh gol.
9. Vincent Enyeama (Nigeria)
Enyeama melepaskan tiga gol ketika peringkat kumpulan dan gol yang bolos itu datangnya ketika menentang Argentina dan meski tewas perlawanan itu dengan keutusan tipis 2-3, Enyeama berjaya membawa Nigeria ke peringkat kalah mati.
Berdepan bekas Juara Piala Dunia 1998, Perancis, Enyeama begitu cemerlang dalam menggagalkan usaha pemain ‘Les Bleus’ seperti Karim Benzema, Paul Pogba dan Mathieu Valbuena dan lain-lain lagi.
Perancis dikerah untuk berhempas pulas sehingga menuju babak-babak akhir perlawanan dan kesilapan Enyeama menampan bola secara tidak kemas menyebabkan bola menuju ke Paul Pogba yang mudah menanduk untuk gol Perancis
Cabaran Nigeria terus berakhir apabila pertahanan Nigeria, Joseph Yobo tertampan gol ke gawang sendiri menewaskan Enyeama.
10. Tim Krul (Belanda)
Ramai yang mengerut dahi dengan percaturan jurulatih Belanda, Louis van Gaal seminit sebelum tamat separuh masa kedua masa tambahan dengan mengeluarkan penjaga gol utama skuad ‘The Oranje’, Jasper Cillessen dan membawa masuk penjaga gol simpanan, Tim Krul yang akan berdepan penentuan sepakan penalti bertemu Costa Rica.
Namun percaturan itu sememangnya berhasil apabila penjaga gawang kelab Newcastle United itu berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti Costa Rica yang dilakukan oleh ketua pasukan, Bryan Ruiz dan wira ketika penentuan sepakan penalti menentang Greece iaitu Michael Umana untuk membawa Belanda ke peringkat separuh akhir bertemu Argentina.
Menurut anda, siapakah penjaga gol terbaik sepanjang Piala Dunia 2014.
#Brazil #FIFA #penjaga gol terbaik #Piala Dunia 2014
;