10 kad merah dilayangkan pada pertandingan akhir bola sepak di Argentina

Bernama
November 7, 2022 04:31 MYT
Kebanyakan pemain yang dibuang padang dalam perlawanan itu adalah kerana bergaduh. - Gambar hiasan
ANKARA: Perlawanan akhir piala bola sepak tempatan Argentina pada Ahad menyaksikan beberapa detik menarik apabila 10 kad merah dilayangkan pada pertembungan Boca Juniors menentang Racing Club.
Pada kejohanan itu, Racing Club menewaskan Boca Juniors, juara liga Argentina dan piala domestik tahun ini dengan keputusan 2-1 selepas masa tambahan.
Namun, gol kemenangan Racing Club itu mencetuskan pergaduhan menyebabkan pengadil Piala Dunia FIFA, Facundo Tello, melayangkan tujuh kad merah kepada pemain Boca Juniors dan tiga lagi kepada Racing Club, lapor Agensi Anadolu.
Pemain Boca yang dibuang padang ialah Sebastian Villa, Alan Varela, Luis Advincula, Carlos Zambrano, Diego Gonzalez, Frank Fabra dan Dario Benedetto.
Johan Carbonero dari Racing Club, penjaring gol kemenangan Alcaraz, dan Jonathan Galvan turut menerima kad merah.
Kebanyakan pemain dibuang padang kerana bergaduh.
-- BERNAMA
#kad merah #Racing Club #pergaduhan #bola sepak Argentina
;