10,000 sukarelawan tarik diri dari Sukan Olimpik

Agensi
Jun 4, 2021 15:47 MYT
Sukan Olimpik Tokyo dijangka membuka tirai pada 23 Julai. - Gambar fail
TOKYO: Ribuan sukarelawan telah menarik diri daripada Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang akan berlangsung beberapa minggu sahaja lagi, sekali gus menimbulkan kebimbangan Jepun mungkin tidak bersedia menjadi tuan rumah.
Dianggarkan 10,000 daripada 80,000 sukarelawan berdaftar yang akan bertugas dalam acara balapan telah menarik diri setakat Rabu lalu.
Ketua Eksekutif Jawatankuasa Penganjur, Toshiro Muto, bagaimanapun yakin penarikan diri sukarelawan tidak akan mempengaruhi perjalananan acara sukan yang sepatutnya berlangsung tahun lalu itu.
Biarpun tidak menjelaskan puncanya, namun ia dipercayai berkaitan dengan pandemik COVID-19 yang masih menular.
Tinjauan mendapati sebahagian besar masyarakat Jepun tidak menyokong penganjuran Olimpik, apatah agi ketika hospital dibanjiri pesakit COVID-19 dan sebahagian besar rakyatnya juga masih belum menerima vaksin.
Jepun setakat ini telah melaporkan lebih 752,000 kes koronavirus dan lebih daripada 13,000 kematian, menurut data Johns Hopkins University.
Pelaksanaan vaksin Jepun juga jauh lebih lambat daripada yang dijangkakan. Walaupun terdapat cukup bekalan untuk 126 juta penduduk, namun masalah kekurangan tenaga profesional perubatan menjadi halangan.
Jawatankuasa Penganjur sebelum ini memutuskan penangguhan Olimpik adalah tidak mungkin, walaupun terdapat kebimbangan mengenai prospek gelombang keempat jangkitan COVID-19.
Sukan Olimpik Tokyo dijangka membuka tirai pada 23 Julai.
#Sukan Olimpik Tokyo #Tokyo #Olimpik #koronavirus #COVID-19 #pandemik #vaksin #Toshiro Muto