Zuraida tandatangani dokumen iktiraf saya sebagai presiden PBM - Larry Sng
Astro Awani
April 11, 2023 17:42 MYT
April 11, 2023 17:42 MYT
KUALA LUMPUR: Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) Datuk Larry Sng mendedahkan bekas timbalannya Datuk Zuraida Kamaruddin ada menandatangani dokumen mengiktiraf sebagai presiden parti itu.
Perkara itu dikongsi sendiri Larry yang memuat naik dokumen bertarikh 1 November 2022 di laman Facebooknya.
Menerusi surat berkenaan, Zuraida mengakui bahawa dia mengiktiraf kesahihan Larry sebagai presiden parti itu.
Zuraida juga bersetuju untuk tidak mencabar jawatan presiden sehingga persidangan perwakilan tiga tahun sekali parti yang dijadualkan tahun depan.
Larry menyiarkan dokumen bekenaan pada Selasa (11 April) sebagai reaksi kepada tindakan Zuraida memfailkan tindakan undang-undang untuk diiktiraf secara rasmi sebagai presiden PBM.
Pada 28 Oktober tahun lepas, Zuraida bersama 12 Ahli Majlis Tertinggi PBM digantung tugas kerana didakwa menggugat kepentingan dan kepimpinan parti.
Dia kemudian dipecat daripada parti bersama 10 yang lain pada Disember.
Februari tahun ini, Larry mengumumkan barisan majlis tertinggi parti yang baharu dengan dirinya kekal sebagai presiden.
Larry secara konsisten menegaskan beliau adalah presiden PBM dan tidak pernah mengosongkan jawatan itu untuk Zuraida.