Zuraida sahkan kehadiran pendengaran Lembaga Disiplin PKR 25 Feb
Bernama
Februari 13, 2020 13:38 MYT
Februari 13, 2020 13:38 MYT
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zuraida Kamaruddin mengesahkan, yang beliau akan hadir pada pendengaran Lembaga Disiplin parti itu pada 25 Feb.
Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata dalam pertemuan itu, beliau akan memberikan penjelasan lebih lanjut, mengenai setiap pertuduhan yang dikenakan terhadapnya oleh Lembaga Disiplin parti sebelum ini.
"Dalam proses disiplin ia mesti ada satu tahap, kita berikan penjelasan bertulis dan tahap seterusnya mesti adakan perjumpaan, untuk beri penjelasan (lebih lanjut).
"Mungkin ada perkara-perkara yang mereka kurang pasti dan kurang faham, jadi mereka nak penjelasan yang lebih untuk saya perjelaskan dan ia juga memberi peluang kepada saya, untuk menjelaskan perkara-perkara yang mungkin tak jelas kepada mereka," katanya.
Zuraida berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen 'AntiLitter' sempena 'Kempen Jupo Sapoh Kutip Jange Tohok Kokse' (Kempen Jumpa Sampah Kutip Jangan Buang Merata-rata) di Pasar Siti Khadijah di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan Dr Izani Husin, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Ismail Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd Datuk Mohd Zain Hassan.
Pada 18 Jan lepas, Zuraida diberikan surat tunjuk sebab oleh Lembaga Disiplin PKR dan beliau diberikan masa 14 hari untuk menjawabnya.
Surat itu menyentuh beberapa isu, termasuk ucapannya pada pada majlis makan malam 8 Dis lalu, susulan tindakannya yang didakwa tidak berpuas hati dengan Kongres Nasional PKR.
Susulan itu juga, Zuraida turut mengumumkan bercuti daripada jawatannya sebagai Naib Presiden PKR, bagi tidak mengganggu sebarang proses siasatan yang dijalankan oleh Lembaga Disiplin parti.
-- BERNAMA
#Lembaga Disiplin
#naib presiden pkr
#pendengaran
#penjelasan bertulis
#PKR
#siasatan
#surat tunjuk sebab
#Zuraida Kamaruddin