Zuraida dedah Anwar cuba yakinkannya bahawa Azmin pelaku video seks
Fareez Azman
Disember 8, 2019 00:18 MYT
Disember 8, 2019 00:18 MYT
Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin dalam ucapan sempena Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 turut mendedahkan mengenai perbualannya bersama Presiden parti itu dalam satu pertemuan beberapa bulan lalu.
Perbualan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, menurut Ahli Parlimen Ampang itu, adalah untuk meyakinkannya bahawa pelaku dalam sebuah video seks yang tular ketika itu, ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
"Saya nak sebut, saya ada jumpa Anwar Ibrahim. Apa dia (Anwar ) sebut: 'Zuraida, betul video (intim) itu memang Azmin sebab polis explain, (pelaku) dalam video itu Azmin'.
"Jelas saya: 'Kalau itu Azmin, biarlah polis siasat kalau betul. Azmin kena terima. Biarlah bagi habis siasatan.
Menurut Zuraida, Anwar kemudiannya berkata: "He's (Azmin) like my brother. Saya kesian dengan dia."
Zuraida pula menjawab, jika benar Anwar kesian terhadap Timbalan Presiden itu, beliau perlu membantu Azmin.
Dalam pendedahan itu, Zuraida turut menyatakan bahawa Anwar turut memetik nama Perdana Menteri.
"Dia (Anwar) kata, Mahathir menyuruhnya memecat Azmin.
"Saya kata, kalau suruh pecat Azmin kenapa Tun Mahathir mengeluarkan empat kenyataan, iaitu Azmin tidak perlu cuti, Azmin teruskan bekerja?" kata Zuraida.
Tambah Zuraida, Anwar menjawab: "You tidak tahu Mahathir, dia 'gini-gini' (dengan membolak-balikkan tapak tangan)," katanya ketika berucap.
Malah selepas mendedahkan perbualan itu, Ahli Parlimen Ampang itu turut menegaskan dirinya bukan sahaja tidak mengenali Perdana Menteri, bahkan tidak mengenali Anwar itu sendiri.
"Jadi saya sebut, 'Datuk Seri, saya memang tidak kenal Tun. Saya pun tak kenal you'.
"Sebab apa? Sebab saya masuk berseorangan, and I don't came from any NGO. I came into this party alone. Jadi memang saya tidak kenal dia (Anwar). Bila saya masuk, dia dalam penjara. Dia keluar tahun 2004, (kemudian) dia masuk lagi (penjara), mana saya kenal?" jelas Zuraida.
Sepanjang bersama PKR, jelas Zuraida, pelbagai pengorbanan dan liku dilalui demi menegakkan keadilan parti itu, dan untuk terus membela rakyat sehingga memenangi pilihan raya umum lalu.
Ujar Naib Presiden itu, walaupun beliau telah menegur pemimpin demi memastikan parti itu terus relevan dan berada pada landasan betul, ia tidak mengaibkan pemimpin parti itu.
Zuraida menjadi antara sosok yang menerima tepukan gemuruh ketika memberi ucapan di hadapan kira kira 2,000 ahli yang hadir dalam majlis itu.
#Ampang
#Anwar Ibrahim
#Azmin Ali
#dedah
#Mahathir Mohamad
#majlis makan malam
#menteri
#NGO
#Pergolakan
#PKR
#polis
#politik
#presiden
#video intim
#Wawasan Kemakmuran Bersama 2030