Zuraida bawa isu PKR Julau ke mesyuarat pusat minggu depan

Bernama
November 4, 2018 07:00 MYT
ZURAIDA: Saya harap minggu depan ada satu lagi mesyuarat yang boleh kita bincangkan lagi untuk kebaikan parti, satu keputusan bijak dan adil harus dibuat. - Gambar fail
Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zuraida Kamaruddin akan membawa kemelut keanggotaan yang melanda PKR cabang Julau ke satu mesyuarat peringkat pusat parti pada minggu depan.
Beliau berkata, pucuk pimpinan parti perlu meneliti serta membincangkan permasalahan tersebut bagi mengelakkannya berterusan.
Katanya, perkara tersebut pernah dibangkitkan tetapi setakat ini belum ada keputusan jelas dicapai.
"Saya ingat dah beberapa kali di bawa ke peringkat pusat (PKR) tapi seolah-olah tidak ada keputusan jelas.
"Saya harap minggu depan ada satu lagi mesyuarat yang boleh kita bincangkan lagi untuk kebaikan parti, satu keputusan bijak dan adil harus dibuat.
"Kita hanya ada (masa) satu minggu sahaja lagi, esok (sudah) Isnin sampai Jumaat.
"Kita tengok apa keputusan dibuat pucuk pimpinan sama ada untuk meneruskan (pemilihan PKR cabang Julau) atau menangguh," katanya pada sidang media pada Ahad malam selepas membuat tinjauan ke beberapa rumah panjang kawasan daerah Sibu dan Kanowit pada sebelah siang.
Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut melawat Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit.
BACA: Sistem e-undi PKR kekal - Saifuddin
BACA: Saifuddin Nasution nafi dakwaan abai tugas Setiausaha Agung PKR
Kemelut yang melanda PKR cabang Julau semakin hangat apabila banyak laporan polis berhubung senarai keanggotaan cabang itu malah ada yang sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
-- BERNAMA
#anggota parti #Julau #keanggotaan #kemelut #keputusan #Ketua Wanita PKR #laporan polis #masalah parti #mesyuarat #pemilihan PKR #PKR #politik #SPRM #Zuraida Kamaruddin
;