Zambry tawar diri bertanding Naib Presiden UMNO

Bernama
Februari 24, 2023 00:11 MYT
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Zambry Abdul Kadir hari ini mengumumkan beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden dalam pemilihan parti itu bagi penggal 2023-2026. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Zambry Abdul Kadir hari ini mengumumkan beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden dalam pemilihan parti itu bagi penggal 2023-2026.
Beliau yang juga Menteri Luar memaklumkan perkara itu menerusi satu hantaran di Facebook beliau malam ini.
"Saya dengan rasa rendah diri menawarkan diri untuk calon Naib Presiden UMNO bagi pemilihan UMNO penggal 2023-2026.
"Saya mohon sokongan dan dokongan sahabat-sahabat semua," katanya.
Pemilihan UMNO diadakan bermula 1 Feb lepas hingga 18 Mac ini dengan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan Wanita, Pemuda dan Puteri Cawangan pada 1 hingga 26 Feb.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Pusat pula bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi UMNO pula diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac.
-- BERNAMA
#Zambry Abdul Kadir #Naib Presiden UMNO #Pemilihan UMNO #Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO
;