Zambry, Noh dilantik pengarah PRK Kuala Kangsar, Sungai Besar

Anthea Yap
Mei 13, 2016 19:11 MYT
Ahmad Zahid berkata beliau akan bertindak sebagai penyelaras bagi dua kawasan PRK dibantu Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. -Gambar fail
Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar dilantik menjadi pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau akan bertindak sebagai penyelaras bagi dua kawasan PRK dibantu Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata barisan kepimpinan tertinggi parti masih meneliti beberapa nama calon dikemukakan badan perhubungan UMNO dua negeri.
Ahmad Zahid turut berkata nama calon itu akan diumumkan seminggu sebelum hari penamaan calon pada 5 Jun depan.
"Kita akan senarai pendek biarpun nama itu ramai dan kita juga akan menyemak latar belakang mereka dengan beberapa agensi yang terlibat supaya calon itu bersih daripada semua unsur negatif.
Pada kali ini, saya fikir kita bukan hanya memikirkan calon yang hanya dapat menang, tetapi kita perlu meneliti daripada aspek calon itu disukai oleh masyarakat setempat," katanya pada sidang media selepas perasmian Majlis Konvensyen AKRAB Kebangsaan ke-7 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut sekiranya berlaku pertembungan parti pembangkang di dua kawasan itu, beliau mengalu-alukannya biarpun ia memberi saingan sengit kepada Barisan Nasional (BN).
"Kesengitan ini bertambah lagi apabila PAS mungkin akan meletakkan calon di kedua-dua kerusi parlimen tetapi kita lihat bagaimana kerjasama akan dapat diperolehi daripada Pakatan Harapan dengan IKATAN tanpa PAS dan juga PKR.
Kita telah menyusun kerja-kerja awal di peringkat UMNO bagi kerusi Parlimen itu dan saya sendiri akan turun padang ke kawasan berkenaan", katanya lagi.
Pada PRU 2013 bagi Sungai Besar iaitu penyandang BN Allahyarham Datuk Noriah Kasnon telah memenangi kerusi Parlimen Sungai Besar mengalahkan calon PAS Mohd Salleh M Husin dengan majoriti 399 undi.
Manakala bagi Parlimen Kuala Kangsar, penyandang Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair -Il Anuar Wan Ahmad mengalahkan calon PAS, Khalil Idham Lim Abdullah dan calon BEBAS Datuk Kamilia Ibrahim dengan majoriti 1,082 undi.
#Noh Omar #PRK Kuala Kangsar #PRK Sungai Besar #Zambry Abdul Kadir
;