Zambry mengundi di Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan
Aida Aziz
Mei 9, 2018 10:05 MYT
Mei 9, 2018 10:05 MYT
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Lumut yang juga penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir antara pemimpin yang keluar awal pagi ini untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Beliau tiba di pusat mengundi di Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan di sini pada jam 9.45 pagi bersama isteri, Datin Seri Saripah Zulkiflli.
Zambry yang mengenakan kemeja biru dan Saripah yang berbaju kurung biru, diiringi anak serta menantu yang turut sama membuang undi.
Selain bertanding bagi kerusi Parlimen Lumut, Zambry juga bertanding bagi mempertahankan kerusi beliau di DUN Pangkor pada pilihan raya umum kali ini.
Parlimen Lumut menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Zambry, calon PKR, Dr Mohd Hatta Md Ramli dan Mohammed Zamri Ibrahim (Pas).
Manakala di DUN Pangkor, Zambry akan berdepan Komander (B) Nordin Ahmad Ismail yang mewakili PKR dan Zainal Abidin Saad (Pas) - juga pertandingan tiga penjuru.
Dalam pada itu, Zambry turut berkesempatan beramah mesra dengan pengundi dan bersalaman dengan mereka.
#Barisan Nasional
#calon
#DUN Pangkor
#MalaysiaMemilih
#Parlimen
#Parlimen Lumut
#pilihan raya umum
#PRU14
#Zambry Abd Kadir