'Zaman PN konsert setiap minggu' - Saifuddin

Hilmi Malik
November 26, 2023 19:02 MYT
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendakwa, ketika zaman pentadbiran Perikatan Nasional (PN), konsert seumpama itu diadakan hampir setiap minggu. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Dakwaan kononnya kerajaan tidak sensitif dengan situasi semasa di Palestin apabila membenarkan penganjuran konsert Coldplay di Stadium Nasional Bukit Jalil minggu lalu disifatkan tidak adil.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendakwa, ketika zaman pentadbiran Perikatan Nasional (PN), konsert seumpama itu diadakan hampir setiap minggu.
“Konsert Coldplay habis semua jadi riuh rendah konon nipis iman semua (pimpinan kerajaan)... paling nipis iman katanya (dituduh) (Datuk Seri) Anwar Ibrahim.
“Ketika PN konsert tiap-tiap minggu... 15 Oktober 2022 konsert Boys Like Girls, seminggu selepas itu konsert Billie Eilish, konsert Black Pink, konsert Super Junior… senarainya banyak berlaku zaman dia (PN).
“Jadi banyak penganjuran konsert dihadiri oleh rakyat yang memilih untuk hadir. Zaman Pas memerintah itu iman pemimpin Pas masih tebal tidak senipis kulit bawang.
“Bila konsert dianjur zaman kita (Kerajaan Perpaduan)... tak layak jadi pemimpin, liberal, muflis, dan iman senipis kulit bawang… apa cerita?,” katanya dengan sinis.
Saifuddin berkata demikian ketika ucapan penggulungan Kongres PKR 2023 di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan, Kerajaan Perpaduan ketika ini tidak sesekali mengabaikan rakyat malah itu merupakan aspek utama yang menjadi perhatian kerajaan.
Perkara itu katanya dapat dilihat menerusi usaha kerajaan menerusi Kementerian Ekonomi agar golongan yang memerlukan dapat dibantui termasuk pemberian subsidi secara bersasar dengan sistematik.
Sebelum ini, beberapa pihak menentang penganjuran konsert Coldplay dan berpendapat Malaysia perlu menjaga sensitiviti mangsa kekejaman zionis di Palestin.
#konsert Coldplay #Saifuddin Nasution #zaman PN #PKR
;