Zaman Mahathir sudah berlalu, biar Anwar pimpin negara - Nazri

Irwan Muhammad Zain
Disember 26, 2022 14:35 MYT
Mohamed Nazri menyifatkan Dr Mahathir sudah hilang sokongan akibat kekalahan teruk bekas perdana menteri itu dan parti pimpinannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dinasihatkan agar menumpukan usaha memulihkan ekonomi negara dan tidak mengendahkan pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menegaskan, apa yang diperkatakan oleh Dr Mahathir terhadap Anwar tidak penting buat masa ini kerana Perdana Menteri mempunyai tugas besar memimpin dan memulihkan ekonomi negara.
Beliau juga menyifatkan Dr Mahathir sudah hilang sokongan akibat kekalahan teruk bersama parti pimpinannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
"Masa beliau sudah berlalu. Cukup-cukup lah, beri peluang kepada Anwar untuk memimpin dan memulihkan ekonomi negara.
"Apa lagi beliau (Mahathir) mahu? Sudah kalah teruk dan hilang deposit di Langkawi baru-baru ini. Semua calon parti dia kalah dan hilang deposit, sudahlah, cukup. Bantu pemimpin muda pulihkan ekonomi negara.
"Saya sendiri sudah tidak percaya dan tidak yakin lagi dengan Dr Mahathir, semua orang beliau anggap tidak betul, hanya dia sahaja yang tahu mentadbir dan memerintah.
"Anwar baru sebulan lebih jadi Perdana Menteri, jangan cepat sangat nak buat penilaian, bagi lah sedikit masa untuk beliau buktikan," katanya kepada Astro AWANI.
Mohamed Nazri juga menyanggah dakwaan Dr Mahathir bahawa ketika diberi peluang menjadi pemangku perdana menteri lebih 24 tahun yang lalu, Anwar gagal tidak dapat menangani masalah.
Beliau menjelaskan, biarpun bercuti ketika itu, namun Anwar tidak diberikan kuasa, sebaliknya Dr Mahathir masih mengawal pentadbiran.
"Saya timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu dan bercakap dengan Anwar, beliau tidak mempunyai kuasa biarpun ditugaskan sebagai pemangku perdana menteri.
"Benar Dr Mahathir bercuti di luar negara, tetapi beliau tetap mengawal pentadbiran negara dan bukannya memberi kuasa kepada orang lain.
"Semua orang tahu dan anggap Dr Mahathir sebagai diktator, beliau tidak akan beri kuasa kepada orang lain, cakap 'beri kuasa' itu semua menipu.
"Jadi macam mana Anwar mahu selesaikan masalah kalau tidak diberi kuasa, masih dikawal pihak lain?" katanya lagi.
Dalam temu bual eksklusif dengan Berita Harian, Dr Mahathir menyatakan kebimbangannya mengenai kemampuan Anwar untuk berdepan krisis kemelesetan ekonomi dan cabaran pemulihan pasca pandemik.
Kata Dr Mahathir, ini berdasarkan pandangannya terhadap prestasi Anwar sebagai menteri kewangan lebih 20 tahun lalu.
#Mohamed Nazri Abdul Aziz #Anwar Ibrahim #Mahathir Mohamad #Perdana Menteri #pentadbiran #PM10
;