Zainol, Nolee nafi kembali kepada UMNO
Abd Razak Mohd Ali
Mac 7, 2019 11:49 MYT
Mac 7, 2019 11:49 MYT
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya beliau akan kembali kepada UMNO.
Katanya, tidak ada langsung perbincangan bersama pemimpin Barisan Nasional (BN) mengenai perkara itu, malah dakwaan kononnya beliau mengadap Sultan Perak, juga tidak benar.
“Secara peribadi, saya tidak ada sebarang tekanan, sebab saya rasa tiada kaitan dengan apa juga yang ditularkan, yang mengatakan macam-macam. Terbaharu, kata saya sudah mengadap Tuanku.
“Semuanya, pada saya, tidak benar seperti yang ditularkan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, pada Khamis.
Pada masa sama, katanya, ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi yang juga dikatakan bakal kembali kepada UMNO turut menafikan desas-desus yang tular sejak beberapa minggu ini.
Sebelum ini, terdapat khabar angin kononnya Zainol dan Nolee bakal mengambil langkah yang dikatakan itu, sekali gus menyebabkan Perak akan jatuh kepada UMNO-Barisan Nasional (BN), sekiranya UMNO dan Pas bergabung.
Zainol berkata, walaupun terdapat beberapa ADUN BN yang datang berjumpanya, ia langsung tidak menyentuh mengenai isu yang tular di media sosial.
“Kalau ada wakil-wakil rakyat BN yang datang jumpa saya, semuanya datang atas urusan masalah rakyat di kawasan masing-masing, yang minta saya cuba bantu. Itu sahaja.
"Tidak ada perbincangan atau dikatakan nak memujuk atau nak mengajak. Tidak ada langsung.
“Saya boleh namakan beberapa wakil rakyat yang datang, tetapi semuanya berhubung masalah rakyat di kawasan masing-masing.
"Mereka minta kerajaan negeri cuba lihat isu pembangunan di kawasan, masalah-masalah rakyat di kawasan, itu saja,” ujarnya.
Menurut Zainol, beliau ada menghubungi Nolee pada petang Rabu untuk bertanyakan mengenai isu yang tular itu.
Katanya, ADUN Tualang Sekah itu agak terkejut dengan perkara itu dan mengakui tiada sesiapa pun pemimpin BN datang berjumpanya.
"Katanya, mana boleh mereka nak arah-arahkan kita pergi sana, pergi sini. No! Kita pun ada pendirian, dia kata,” ujarnya lagi.
Beliau berpendapat isu itu timbul kerana Dewan Undangan Negeri akan bersidang bulan depan, di samping kemenangan BN pada dua Pilihan Raya Kecil (PRK) - Parlimen Cameron Highlands dan DUN Semenyih - baru-baru ini.
#Barisan Nasional
#lompat parti
#Nolee Ashilin Mohamed Radzi
#Perak
#Sultan Perak
#UMNO
#Zainol Fadzi Paharudin