Zaid cadang KJ sertai Pas kerana UMNO sudah tiada masa depan

Sinar Harian
Februari 2, 2025 08:30 MYT
Zaid (kiri) mencadangkan Khairy menyertai Pas sekiranya beliau mahu kembali aktif dalam arena politik kerana UMNO kini didakwa sudah tiada masa depan. - Gambar fail
SHAH ALAM: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dicadang menyertai Pas sekiranya beliau mahu kembali aktif dalam arena politik kerana UMNO kini didakwa sudah tiada masa depan.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Zaid Ibrahim turut menolak idea jika bekas Menteri Kesihatan itu mahu menubuhkan parti politik baharu kerana bakal berdepan laluan sukar.
"Pada saya Khairy sepatutnya masuk Pas sahaja walaupun dia hanya ada dua pilihan lain iaitu pertama menubuhkan parti sendiri atau bertanding atas tiket Bebas.
"Jika Khairy tidak mahu bertanding atas tiket Bebas atau menubuhkan parti lain, saya mencadangkan supaya beliau menyertai Pas yang sudah pastinya akan menang. Khairy kemudian boleh masuk Parlimen (jika dipilih wakil rakyat) dan carilah jalan bina sokongan untuk menjadi Perdana Menteri," katanya dalam audio siar terbaharunya.
Pada 27 Januari 2023, Khairy dipecat disebabkan pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau sebelum ini pernah ditawarkan jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) oleh Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin jika memutuskan untuk menyertai parti berkenaan.
Muhyiddin menyatakan ketika itu ada dua kekosongan MPT dan pelawaan kepada Khairy telah dibincangkan dengan pemimpin parti lain, namun Khairy menegaskan beliau memerlukan masa memberi kata putus.
Zaid berpendapat, Khairy memerlukan masa kira-kira 10 tahun untuk mencari sokongan untuk menjadi Perdana Menteri.
"Saya yakin jika Khairy berhasrat berbuat demikian Pas akan terimanya. Saya sendiri akan berkempen untuknya jika beliau masuk parti itu dan bertanding," ujarnya.
Dalam pada itu beliau turut menyarankan pemimpin UMNO yang rasa terpinggir untuk mempertimbangkan penyertaan dalam Pas sebagai wadah baharu kerana mampu menawarkan masa depan politik. - Sinar Harian
#Zaid Ibrahim #Khairy Jamaluddin #KJ sertai Pas #UMNO tiada masa depan
;