Zahid perlu jelaskan kepada akar umbi keputusan 'pecat' Annuar - Exco Pemuda UMNO
Astro Awani
Januari 7, 2021 07:35 MYT
Januari 7, 2021 07:35 MYT
Annuar baru-baru ini mendakwa, wujud gerakan UMNO untuk bekerjasama dengan DAP termasuk membentuk kerajaan baharu. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR : Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diminta menerangkan kepada akar umbi parti berhubung keputusan UMNO 'memecat' Tan Sri Annuar Musa daripada jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN).
Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn berkata, meskipun pelantikan jawatan setiausaha itu adalah hak Pengerusi BN namun menukarkan Annuar hanya kerana beliau dilihat pro-Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan alasan kukuh yang mudah diterima.
Tegasnya, perbezaan pandangan walaupun dalam parti yang sama perlu diraikan dan keputusan itu akan mewujudkan persepsi kurang baik dalam kalangan masyarakat, kepada UMNO dan juga Ahmad Zahid.
UMNO bimbang Bersatu akan meluaskan pengaruh - Penganalisis
“Begitupun, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin harus juga meneliti perkongsian antara parti-parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam konteks lebih adil.
“Justeru, saya minta isu pengagihan komposisi jawatan Kabinet termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri dipertimbangkan Perdana Menteri.
“Ini penting bagi mengelakkan kebimbangan kerjasama UMNO, Anwar dan DAP akan dijadikan kenyataan oleh segelintir pihak berkepentingan,” katanya kepada Astro AWANI.
Annuar pada Rabu mendakwa, wujud gerakan UMNO untuk bekerjasama dengan DAP termasuk membentuk kerajaan baharu.
[INFOGRAFIK] Apa sebenarnya UMNO inginkan?
Menurutnya, beliau menerima laporan bahawa UMNO dalam proses menjalin kerjasama dengan DAP untuk tujuan itu.
"Saya dapat berita secara sahih wujud usaha perundingan melibatkan DAP dalam membentuk penjajaran baharu.
"Bukan soal sokongan atau tidak sokong DAP, saya berpegang kepada keputusan parti sehingga parti mengubah keputusan yang ada kekal tidak ada sebarang bentuk kerjasama atau cubaan membentuk kerjasama," katanya.
#Annuar Musa
#UMNO
#pecat
#tukar
#Tan Sri Annuar Musa
#Pemuda UMNO
#Barisan Nasional
#Setiausaha Agung BN
#Muhyiddin Yassin
#PPBM
#DAP
#Exco
#Perdana Menteri
#Timbalan Perdana Menteri
#pemuda
#menteri
#kabinet