Zahid minta pemimpin, ahli UMNO tidak desak Muhyiddin isu jawatan TPM

Bernama
November 29, 2020 15:57 MYT
Zahid berkata kuasa pelantikan timbalan perdana menteri, menteri dan timbalan menteri terletak sepenuhnya kepada budi bicara perdana menteri. -Gambar fail
BAGAN DATUK: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini meminta pemimpin dan anggota UMNO tidak mendesak Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mewujudkan semula jawatan Timbalan Perdana Menteri dengan memberikan kuota berkenaan kepada parti itu.
Presiden UMNO berkata kuasa pelantikan timbalan perdana menteri, menteri dan timbalan menteri terletak sepenuhnya kepada budi bicara perdana menteri.
"Oleh yang demikian, spekulasi, tafsiran atau sebarang analisis mengenai jawatan timbalan perdana menteri tidak harus dibincangkan secara umum walaupun memang diakui ada dibincangkan dalam mesyuarat parti. Hak pelantikan itu adalah hak perdana menteri.
"Mana-mana parti boleh meminta tetapi jauhkanlah daripada mendesak kerana kita harus menghormati kuasa yang ada di tangan perdana menteri," kata Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk selepas bersarapan bersama penduduk setempat di Warung Kopi Atan Deris di Jeti Hutan Melintang di sini hari ini.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu temu bual eksklusif bersama sebuah akhbar tempatan dilaporkan berkata isu jawatan timbalan perdana menteri untuk diisi pemimpin UMNO akan dibangkitkan semula sebaik Belanjawan 2021 yang sedang dibahaskan di Dewan Rakyat selesai.
Ismail Sabri berkata pada masa ini tiada pemimpin UMNO diberikan jawatan tertinggi dalam Kabinet, melainkan satu daripada empat jawatan menteri kanan yang disandang beliau, meskipun UMNO memiliki jumlah kerusi terbesar dalam kerajaan Perikatan Nasional.
-- BERNAMA
#Zahid Hamidi #UMNO #jawatan TPM #jangan desak PM #Muhyiddin Yassin #Ismail Sabri #kuota umno
;