Zahid janji cadang dua menteri penuh jika rampas kembali Selangor

Hilal Azmi
Ogos 31, 2015 17:04 MYT
Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO turut mengingatkan ahli UMNO supaya tidak mengabaikan mereka yang tidak mahu bekerja bersama UMNO dalam BN. - Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berjanji akan melobi dan mencadangkan dua kerusi menteri penuh dari Selangor sekiranya UMNO dan Barisan Nasional (BN) berjaya merampas kembali negeri terbabit.
"Pastikan UMNO dan BN ambil alih Selangor dan tambah kerusi parlimen yang kita kalah dulu.
"Insyaallah saya akan nasihatkan Perdana Menteri untuk lantik dua orang menteri penuh daripada Selangor," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan di sini.
Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO turut mengingatkan ahli UMNO supaya tidak mengabaikan mereka yang tidak mahu bekerja bersama UMNO dalam BN.
"Saya ada laporan ada antara ahli dalam parti komponen tak mahu bekerja dengan kita lagi.
"Jangan pedulikan mereka, kita kuatkan kerja, perkukuh keyakinan rakyat kepada UMNO dan BN.
"Kita tolong mereka (rakan parti komponen BN) di kawasan mereka, jadi mereka kena tolong kita untuk calon di kawasan kita," tambahnya.
Sebelum itu, di Puchong, beliau mengingatkan Pemimpin UMNO Selangor untuk keluar dari zon selesa dan kukuhkan perpaduan parti serta sokongan rakyat, sekiranya berhasrat merampas semula negeri itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
#Ahmad Zahid Hamidi #Petaling Jaya #Selangor #UMNO