Zahid Hamidi sah terima laporan risikan sebelum, selepas pertemuan 'Langkah Dubai'

Ridauddin Daud
Januari 2, 2024 12:14 MYT
Ahmad Zahid berpendapat, usaha menggulingkan kerajaan melalui 'Langkah Dubai' itu hanya membuang masa. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan menerima laporan risikan berkaitan ‘Langkah Dubai’ sebaik sahaja beberapa pemimpin yang dikaitkan dengan gerakan berkenaan tiba ke tempat pertemuan di bandar raya itu.
Bahkan, menurut Timbalan Perdana Menteri, beliau turut menerima laporan selepas pertemuan itu selesai.
Selepas mendapat semua laporan itu, Ahmad Zahid berpendapat, usaha itu hanya membuang masa.
“Saya tidak fikir langkah yang mereka lakukan itu adalah satu langkah yang baik kerana mereka telah lakukan 'tebuk atap' ini beberapa kali.
“Tetapi, apa yang penting rakyat memberikan mandat kepada parti-parti untuk memberikan sokongan kepada Ahli Parlimen yang dipilih. Kini kita dapati bahawa Kerajaan Perpaduan mempunyai sokongan melebihi dua pertiga.
'Langkah Dubai hanya fatamorgana' - Ahmad Maslan
“Ertinya rakyat harus diberikan keadilan... (iaitu) untuk politik (pentadbiran kerajaan) ini dimantapkan. Keutamaan adalah untuk bangunkan negara kita terutama dari segi pembangunan ekonomi… berikan kesejahteraan yang melata kepada rakyat dan bukan soal-soal politik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Taklimat dan Penyelarasan Situasi Bencana Terkini di Pejabat Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya pada Selasa.
Dalam pada itu, ditanya mengenai identiti pemimpin yang terlibat dalam gerakan berkenaan, Ahmad Zahid enggan mendedahkan nama mereka.
Beliau menasihatkan individu yang terlibat dalam usaha menggulingkan kerajaan itu agar menunggu sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) sekiranya mahu membentuk kerajaan baharu.
“Tunggulah hingga pilihan raya umum yang ke 16 jika mereka berhajat untuk menukar kerajaan.
“Insya-Allah kerajaan yang ada akan memberikan tumpuan untuk memperkukuhkan ekonomi, membantu rakyat dan juga terus mewujudkan kestabilan kepada negara ini di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri ke-10,” katanya.
#Zahid Hamidi #Langkah Dubai #Laporan Risikan #identiti pemimpin
;