Yusof Yacob beri bayangan mungkin bertanding PRU15
Syah Hairizal Kamalul Arifin
April 21, 2022 09:20 MYT
April 21, 2022 09:20 MYT
SIPITANG: Bekas ketua penerangan Parti Warisan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob memberi bayangan dirinya bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Bagaimanapun, katanya, buat masa ini, beliau belum menyertai mana-mana parti politik selepas meninggalkan Warisan awal Oktober tahun lalu.
"Saya mengikuti perkembangan dan saya lihat, politik negara ini akan berubah. Landskapnya akan berubah sama sekali di masa akan datang.
"Dan kita lihat, di Semenanjung dan di Sabah, ada keperluan untuk bersatu membela nasib rakyat Sabah, dan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan," katanya di sini semalam.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) di Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sipitang.
Sementara itu, Yusof memaklumkan, dia tidak pernah melobi untuk menjadi calon termasuk sewaktu pilihan raya terdahulu.
"Kalau ada pun, diangkat oleh parti. Tetapi, kita tidak ada perbuatan peribadi. Tiada KPI. Kalau kita tidak buat kerja, rakyat benci kita, macam mana kita mahu menang?
"Sebab itu, penting bagi saya, selalu mahu mengutamakan rakyat. Saya tidak pernah minta, tetapi kita serah kepada rakyat sama ada mereka mahu atau tidak.
"Memang ia keputusan mutlak parti. Parti pun melihat the winnable candidate. Masa ini tidak boleh main tangkap muat. Jadi, faktor winnable candidate itu penting," tambahnya.
Yusof pada Oktober 2021 mengumumkan keluar Warisan untuk menjadi ADUN bebas yang menyokong kerajaan negeri ditadbir Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Katanya, tindakan itu diambil kerana mahu membantu menyelesaikan pelbagai masalah rakyat di kawasan DUN Sindumin dan daerah Sipitang, selain membawa pembangunan ke kawasan itu.