Yee Cheu pinjam logo PSM

Sinar Harian
April 10, 2018 10:12 MYT
Yee Cheu (kanan) berharap pengundi di Pulau Pinang dapat memberikannya peluang untuk menterjemahkan suara rakyat dalam Dewan Undangan Negeri. - Foto Sinar Harian
Parti Sosialis Malaysia (PSM) bersetuju meminjamkan logo parti itu kepada Adun Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu untuk bertanding pada PRU14.
Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, Choo Chon Kai berkata, keputusan itu dibuat setelah bekas wakil rakyat DAP itu memenuhi setiap syarat yang ditetapkan parti.
“Teh Yee Cheu akan bertanding dengan tiket PSM di kawasan Dun Sungai Pinang pada PRU14 nanti.
“Beliau bukan ahli PSM, tapi kita setuju meminjamkan logo PSM untuk beliau tanding dengan empat syarat,” katanya kepada media, semalam.
Menurutnya, syarat yang perlu dipenuhi adalah mengisytiharkan harta, tidak menggunakan politik perkauman dan agama, setuju dengan manifesto PSM dan membuka Pusat Khidmat Rakyat sekiranya menang.
“Ini adalah kali pertama PSM bertanding di Pulau Pinang dalam pilihan raya dan kita hanya meletakkan seorang calon.
“Walaupun hanya bertanding untuk satu kerusi, tapi kita percaya bahawa calon PSM akan bawa nafas baru untuk politik di Pulau Pinang,” katanya.
Sementara itu, Yee Cheu berkata, beliau akan teruskan perjuangan di Pulau Pinang.
“Saya harap pengundi-pengundi di Pulau Pinang dapat berikan peluang kepada saya untuk terjemahkan suara rakyat dalam Dun.
“Saya tak ada masalah untuk sertai PSM. Menang atau kalah, saya tetap akan berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
#Choo Chon Kai #DAP #logo #logo parti #MalaysiaMemilih #Parti Sosialis Malaysia #pinjam logo #PSM #Tanjung Bungah #Teh Yee Cheu
;