Yang pasti PRU15 semakin hampir - Bung Moktar
Sinar Harian
Oktober 10, 2022 11:40 MYT
Oktober 10, 2022 11:40 MYT
KOTA KINABALU: Setiap Bahagian UMNO di Sabah sepatutnya sudah melancarkan jentera pilihan raya masing-masing, kata Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Beliau berkata, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilihat sudah semakin hampir walaupun tarikhnya belum diketahui.
"PRU15 semakin hampir, tak kira bila tarikhnya yang pasti semakin hampir, bukan semakin jauh," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Kenyataan itu sempena persidangan UMNO Bahagian-Bahagian di Sabah yang sedang berlangsung ketika ini.
Tambah beliau lagi, mesyuarat kali ini tidak ada pemilihan jawatan dalam Persidangan Cawangan, Mesyuarat Perwakilan Bahagian dan Perhimpunan Agung.
"Justeru tumpuan adalah membentuk satu kesatuan yang kukuh dan padu untuk menghadapi PRU15," katanya.
Sehubungan itu, Bung Moktar yang Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO mahu setiap Pergerakan Wanita, Pemuda, Puteri dan Bahagian UMNO di Sabah yang mengadakan mesyuarat kali ini menumpukan kepada persiapan menghadapi PRU15.
"PRU15 kali ini kita membawa misi yang cukup penting untuk menang justeru pendekatan serta cara kita berkerja adalah untuk menang, persediaan logistik, strategi dan pusat pusat daerah mengundi (PDM) yang sudah dibentuk perlu berada pada tahap bersedia untuk menunggu semboyan PRU dibunyikan," katanya. -Sinar Harian