Yahudi guna Izzah, Tony Pua untuk jatuhkan kerajaan - UMNO Kepong
Mariah Ahmad
Ogos 23, 2015 17:08 MYT
Ogos 23, 2015 17:08 MYT
Antara usaha Yahudi untuk menjatuhkan kerajaan adalah dengan menggunakan 'jalan belakang', dakwa UMNO Bahagian Kepong.
Ketuanya Datuk Rizuan Abd Hamid berkata tindakan itu dilakukan melalui pemimpin pembangkang seperti Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah dan Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua untuk memerintah Malaysia.
Dakwa Rizuan lagi, Yahudi menggunakan akhbar Wall Street Journal, Claire Brown untuk menjatuhkan kepimpinan kerajaan dengan memanipulasi isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Lihat sahaja Timbalan Perdana Menteri Datuk Dr Ahmad Zahid pergi ke hulu ke hilir untuk mempertahankan Datuk Seri Najib Tun Razak daripada serangan puak-puak Yahudi terutama yang mahu menjatuhkan kerajaan Malaysia melalui pintu belakang.
"Mereka mahu jatuhkan kerajaan kita," katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Kepong di Hotel Hilton, KL Sentral, di sini, pada Ahad.
Mesyuarat yang dirasmikan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid ini turut dihadiri Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Rizuan berkata kerajaan UMNO di bawah pimpinan Najib ini adalah satu-satunya kerajaan yang menentang Yahudi.
Beliau berkata, Malaysia berjaya merpertahankan negara ini daripada ancaman Yahudi di dalam negara Asia ini selepas bekas Eksekutif Teknologi Maklumat PetroSaudi International Xavier Andre Justo ditangkap dan kini menjalani hukuman penjara tiga tahun di Thailand.
"Isu 1MDB turut melihatkan kepada perkembangan positif selepas orang yang buat kacau telah ditangkap. Justo (Xavier) telah ditangkap dan dipenjara di Bangkok.
"Dia ada rancangan besar nak menjatuhkan kerajaan UMNO kerana kerajaan UMNO ini adalah satu-satunya kerajaan yang menentang Yahudi.
"Negara-negara Asia lain sudah pun ditawan puak Yahudi. Singapura habis, Thailand habis, Filipina habis. Mana lagi yang tinggal? Indonesia pun habis," katanya.
Rizuan berkata, Malaysia dipertahankan Najib (dari ancaman Yahudi) dengan sumbangan Raja Arab, Putra Arab yang bermurah hati untuk memberi dana politik untuk kegunaan PRU-13 yang lalu.
Beliau berkata, apa yang patut dipersoalkan hari ini adalah isu RM30 bilion yang didakwa disorok Menteri Besar Selangor, Azmin Ali dan bukannya sumbangan RM2.6 bilion yang diterima Najib.
"Pembangkang pakai duit ratusan juta, berbilion. Tiada siapa pun yang mempersoalkan. Tengok sahaja dalam akaun Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, akaun Nurul Izzah, akaun Nurul Nuha, akaun Mohd Ihsan, berapa juta bilion yang ada dalam akaun itu? Kenapa tidak dipersoalkan?" katanya lagi.
Sebelum ini, portal tempatan melaporkan Ketua Bahagian UMNO Sri Gading, Datuk Abdul Aziz Kaprawi mendakwa DAP dibiayai Yahudi ketika parti itu bertanding pada Pilihan Raya Umum 2013.
Menurut portal itu, Abdul Aziz mendakwa penderma berkenaan khuatir sekiranya pengaruh Yahudi akan meresap di negara ini melalui DAP dan memusnahkan kerajaan Islam yang dipimpin Barisan Nasional (BN).
Menurutnya lagi, sumbangan RM2.6 bilion yang diterima Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada salah seorang penderma dari Timur Tengah adalah bagi membantu UMNO menentang DAP.