Ya, saya mahu tiru cara Jokowi - Azmin

Astro Awani
Oktober 24, 2014 11:41 MYT
AZMIN: Ya, saya mahu tiru cara Jokowi - Gambar fail
Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali mengakui program turun padang yang dilaksanakannya setiap minggu merupakan inspirasi daripada Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi).
Ujarnya, tugas Jokowi yang dilihat majoritinya bersama rakyat berbanding di pejabat akan diaplikasikan di dalam corak pentadbirannya di Selangor.
"Saya kenal Bapak Jokowi dan pernah mengunjunginya tahun lalu, Jokowi kata kepada saya...Azmin, masa saya hanya 20 peratus di pejabat, selebihnya di lapangan bersama rakyat.
"Ya, saya mahu tiru cara dia, kerana itu, saya komited untuk sentiasa bersama rakyat dan mendengar keluhan hati mereka," katanya semasa majlis perhimpunan pagi penjawat awam daerah Sabak Bernam di sini hari ini.
Azmin sebelum ini dilihat menyamakan tanggungjawab kerjanya sama seperti Jokowi.
Selain digambarkan melalui Tweet, Azmin turut membayangkan kerja-kerjanya lebih kepada meninjau kesusahan rakyat negeri itu sendiri.
Pelantikan Jokowi sebelum ini turut memberi harapan baru kepada anak muda Indonesia yang membentuk peratusan besar dalam populasi rakyat republik itu yang melebihi angka 250 juta orang.
Jokowi sendiri di dalam pidato pertamanya mengajak semua golongan bekerja keras dan menghargai peranan golongan bawahan demi masa depan Indonesia.
Sementara itu, dalam perkembangan perjanjian air Selangor, Azmin dikatakan sudah menulis surat kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkenaan dan meminta kandungan perjanjian didedahkan.
Menurut sumber dalaman, Azmin mahu perincian perjanjian itu dimaklumkan selain mahu rakyat tahu sepenuhnya isu berkenaan.
"Sehingga kini masih belum ada perkembangan, hanya sudah tulis surat sahaja," kata sumber itu.
Azmin sebelum ini dilaporkan ingin melihat kualiti dan pengurusan air yang berkesan di negeri itu dan tidak berniat untuk membatalkan perjanjian air yang dimeterai di antara kerajaan Persekutuan dan negeri.
#Azmin #Indonesia #Jokowi #kayu #sampah #Selangor #terjah
;