Wujudkan ‘Team Sukses UMNO’, kembalikan kegemilangan parti – Tok Mat
Firdaus Azil
Ogos 21, 2024 06:20 MYT
Ogos 21, 2024 06:20 MYT
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangkan agar sayap Pemuda dan Puteri merangka penubuhan ‘Team Sukses UMNO’, dengan matlamat mengembalikan zaman kegemilangannya sebagai parti pejuang Melayu dan Islam terbesar di negara ini.
Beliau berkata, keberkesanan pasukan itu memerlukan dedikasi sepenuh masa oleh sebuah pasukan yang dianggotai oleh pelbagai segmen profesional, termasuk ahli statistik, data saintis, pempengaruh media sosial, penyelidik, ahli media, pasukan kreatif, dan pelbagai lagi.
Mohamad atau mesra digelar Tok Mat menyarankan, fokus utama pasukan sepenuh masa itu perlu ditumpukan kepada usaha melaksanakan pelbagai operasi elektoral bagi UMNO.
“(Antaranya) … mengenal pasti setiap pengundi. Merangka manifesto. Menghasilkan pelbagai strategi kempen. Menyemak semua mereka yang berpotensi menjadi calon boleh menang. Yang paling utama, mengemudi kempen di persada media sosial.
“Ia mesti diuruskan seperti sebuah entiti perniagaan. Bukan entiti peperangan. Kenapa perubahan strategi ini penting? Kerana kita ingin pengundi tertarik dan membeli semula jenama UMNO ini. Dan ia memerlukan ‘a business and marketing strategy’, yang bersandarkan ‘consumer behavior’,” katanya lagi.
Mohamad berkata, Team Sukses UMNO harus dipacu dari satu sahaja pusat kawalan dan mesti disambut oleh semua di pelbagai negeri dan bahagian, untuk disebar luar dan dijelaskan kepada setiap pengundi.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda, dan Puteri UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, semalam.
Dalam pada itu Mohamad berkata, melalui panduan dan arahan Team Sukses UMNO itu, mereka di lapangan hanya perlu memberikan fokus, kepada penjelasan isu setempat, serta meraih sokongan setempat, dengan pendekatan khidmat yang selama ini telah dilaksanakan.
“Kita mesti belajar dari pelbagai pengalaman negara luar, bagaimana untuk menubuh dan mengoperasikan Team Sukses mereka. Semuanya dioperasikan dengan kecekapan digital, sokongan data yang komprehensif, dan dianggotai oleh profesional dengan pelbagai kepakaran dan latar belakang.
“Oleh yang demikian, saya mengusulkan kepada Pergerakan Pemuda dan Puteri untuk merangka kewujudan Team Sukses ini. Jadikan ia fokus sebenar gerak kerja Pergerakan Pemuda dan Puteri untuk tiga tahun mendatang,” katanya lagi.