Wujudkan semula jiwa pengorbanan dalam UMNO - Johari Abdul Ghani
Rahimah Abdullah
Jun 30, 2018 13:27 MYT
Jun 30, 2018 13:27 MYT
UMNO mampu dipulihkan jika semua ahlinya mewujudkan semula jiwa pengorbanan untuk parti dalam diri masing-masing, ujar calon Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Tegasnya, ia termasuk pengorbanan tenaga, masa dan wang ringgit bagi membina semula parti yang dibina sejak sekian lama itu.
“Kita wujudkan balik jiwa pengorbanan dalam parti. Kita mesti ada kejujuran sebagai pemimpin. Wang ringgit juga perlu ada dalam perjuangan. Sekarang kita tiada kuasa, dulu kita ada kuasa,” katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Titiwangsa di sini hari ini.
Pada Pemilihan UMNO 2018, Johari bertanding mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa dan Naib Presiden UMNO.
Malah, beliau juga berkata tidak salah jika anggota UMNO bersama-sama sama ada susah dan senang memastikan setiap program dijalankan parti berjalan lancar.
“(Sebagai contoh semasa mesyuarat perwakilan) Saya saran mungkin kita boleh tong-tong (kongsi) untuk masak dan sediakan air serta sebagainya, sebab kalau ada katerer macam saya ni ok, tetapi kalau ada ketua bahagian yang ada ciri-ciri pemimpin yang baik tetapi tiada duit mesti terhumban keluar.
“Mereka tak boleh menonjol sebab mereka tiada duit. Jangan musnahkan mereka. Jadikan mereka pemimpin tarikan kepada pengundi luar sana. Jangan hanya ada duit tetapi tidak boleh buat kerja,” ujarnya.
Tambahnya, UMNO memerlukan pemimpin di peringkat nasional dan bahagian yang mampu bekerja sebagai satu pasukan selain mengembalikan integriti dan kredibiliti parti.
Pada masa sama, pemimpin UMNO perlu menjaga tutur kata mereka agar tidak mengguriskan perasaan mana-mana anggota masyarakat.
“Saya pun banyak silap, apabila kita cakap kita adalah parti nasional iaitu parti yang menerajui dan menjaga segala kepentingan masyarakat berbilang kaum. Jadi tutur kata ini mesti x mengecewakan mereka,” kata beliau lagi.
Pada masa sama, pemimpin parti yang bermasalah perlu diambil tindakan disiplin.
“Jangan sewenangnya biar mana pemimpin yang tiada disiplin. Kena ada disiplin tinggi sama ada di bahagian, dan nasional. Kalau dia rosakkan maka perlu ambil tindakan disiplin. Kalau boleh lakukan aspirasi dalam UMNO maka masyarakat akan mula menyukai kita walaupun kita tidak boleh bagi apa pada mereka,” ujarnya.