Wujudkan Majlis Tindakan, Tribunal dan Polis Pilihan Raya untuk penguatkuasaan

Afiezy Azaman
Januari 23, 2019 18:38 MYT
MD SHUKRI: Kewujudan Majlis ini juga dapat memastikan PRU dan PRK dijalankan dalam keadaan bersih.
Majlis Tindakan Pilihan Raya perlu diwujudkan bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan segera semasa Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.
Ia boleh dianggotai oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Jabatan Peguam Negara.
Penganalisis politik, Md Shukri Shuib berkata kewujudan Majlis ini juga dapat memastikan PRU dan PRK dijalankan dalam keadaan bersih.
“Pengurus SPR kawasan itu akan pengerusikan Majlis ini, dan ia akan dianggotai oleh ketua polis daerah, SPRM, tentera, dan juga ketua-ketua jabatan.
“Selepas itu, kena ada Tribunal Pilihan Raya yang akan membuat keputusan segera dalam sesuatu isu berbangkit dalam pilihan raya.
“Akhirnya, kena ada Polis Pilihan Raya yang perlu diwujudkan beberapa minggu sebelum pilihan raya itu diadakan dan hanya akan dibubar selepas dua hingga tiga minggu tamat pilihan raya kerana proses siasatan akan melalui mereka,” katanya kepada Astro AWANI, pada Rabu.
Beliau mengulas kenyataan, Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun yang menyatakan pihaknya tidak boleh melaksanakan tindakan segera seperti menyiasat atau menangkap individu yang dituduh berkaitan kesalahan sepanjang proses pilihan raya di negara ini.
Azhar berkata demikian ketika diminta mengulas apakah tindakan segera yang boleh dilakukan SPR untuk mengheret mereka yang didakwa melakukan kesalahan sepanjang proses pilihan raya sementara menunggu keputusan siasatan pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sementara itu, Md Shukri berkata, kewujudan Polis Pilihan Raya ini mampu mempercepatkan proses penyiasatan sekiranya terdapat sebarang isu berlaku seperti penularan gambar pemberian wang tunai dan penggunaan jentera kerajaan seperti yang berlaku pada PRK Cameron Highlands.
“Kalau tidak, pilihan raya kita akan sentiasa dicurigai, PRK Cameron Highlands terpaksa dibuat semula sebab ada amalan rasuah, ini kalau jadi lagi takkan nak buat pilihan raya lagi?
“Dan semua proses kita akan melalui mahkamah yang memakan masa, SPR pun kena lapor kepada PDRM dan SPRM dulu selepas itu baru minta pejabat peguam negara dan sebagainya,” jelas beliau.
#ATM #Majlis Tindakan Pilihan Raya #Md Shukri Shuib #PDRM #Pejabat Peguam Negara #penganalisis politik #pilihan raya #Polis Pilihan Raya #prk Cameroon Highlands #SPR #SPRM #Tribunal Pilihan Raya
;