Wow! Remaja 19 tahun pun hulur RM50 bantu pengundi #PulangMengundi
Ashwad Ismail
April 16, 2018 16:45 MYT
April 16, 2018 16:45 MYT
JIKA kita teliti semula siri-siri Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini, kehangatan menuju hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018 (hari Rabu) menyaksikan satu gelombang penyertaan masyarakat sivil yang sangat luar biasa.
Ia seakan seperti gelombang kebangkitan. Kebangkitan masyarakat yang mahu demokrasi bukan sahaja subur, tetapi terus sihat di dalam landskap negara.
Semuanya bermula di media sosial, terpancar jelas penyertaan masyarakat tanpa mengira latar pendirian politik tetapi tegak berdiri di sebalik penggunaan tanda pagar atau #PulangMengundi.
Pengasas #PulangMengundi, Joe Lee berkongsi cerita yang mampu membuatkan kita menitiskan air mata apabila pelbagai individu tampil menghulurkan bantuan hanya untuk memastikan mereka yang kurang bernasib baik dapat menunaikan hak dan tanggungjawab mengundi.
Antara kisah yang menarik perhatian kami ialah seorang remaja yang usianya sekitar 19 tahun dan belum layak untuk mengundi.
Namun, menurut Joe Lee, remaja ini tampil dengan RM50 untuk membantu seorang individu yang tidak cukup duit untuk pulang mengundi.
“Saya sangat terharu sebab dia tidak boleh mengundi, tetapi remaja ini mahu memainkan peranan dalam proses pilihan raya ini,” kata beliau semasa ditemubual Astro AWANI melalui program, 'Malaysia Memilih 2018'.
“Bukan itu sahaja, waktu dan saat ini boleh membuatkan kita mengenali siapa tokoh korporat atau syarikat yang benar-benar faham apa itu demokrasi dan rakyat,” kata Joe Lee.
Berdasarkan pemerhatian, AirAsia merupakan satu-satunya syarikat penerbangan yang sangat responsif kepada kempen Pulang Mengundi ketika ini.
Cerita-cerita seperti ini menyuntik perspektif yang segar melalui partisipasi atau penyertaan masyarakat sivil dalam meraikan festival demokrasi.
#Astro Awani
#demokrasi
#isu semasa
#kesan media sosial
#kuasa rakyat
#Malaysia Memilih
#masyarakat sivil
#Pengasas PulangMengundi
#Pengundi PRU14
#PRU
#PRU14
#PulangMengundi
#Sinar Awani
#Sinar Harian