Woo Kah Leong tawar diri bertanding sebagai calon Ketua DAPSY kebangsaan
Bernama
November 11, 2024 21:45 MYT
November 11, 2024 21:45 MYT
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar Woo Kah Leong menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) pada pemilihan parti itu yang akan berlangsung pada 17 November ini.
ADUN Balakong Wayne Ong Chun Wei pula dicalonkan sebagai Timbalan Ketua DAPSY manakala Ahli Majlis Bandaraya Seremban Louis Lim Chun Weng pula dicadangkan sebagai calon Setiausaha DAPSY, mengikut Woo.
"Dengan berpaksikan slogan 'Kekalkan Perjuangan Parti, Martabatkan Generasi Muda', saya menampilkan seluruh pasukan kami yang merangkumi pelbagai kaum, latar belakang dan warna kulit demi membolehkan para perwakilan DAPSY untuk membuat pilihan terbaik pada pemilihan yang akan berlangsung pada 17 Nov," katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata turut bertanding adalah empat calon Naib Ketua dan 15 orang bagi Ahli Jawatankuasa (AJK), termasuk calon wanita dan wakil dari Sabah dan Sarawak.
Daripada 22 calon yang bertanding, hanya tujuh dalam kalangan mereka termasuk beliau merupakan wakil rakyat, manakala selebihnya adalah anggota biasa parti.
Woo berkata, DAPSY adalah platform terbaik untuk membolehkan generasi muda DAP menzahirkan pendirian politik mereka dan memastikan setiap aspirasi dapat dilaksanakan menerusi tindakan yang konkrit.
-- BERNAMA