Warisan patut dengar nasihat saya mengenai hak minyak dan gas - Masing
Fadilah Sulaiman
Disember 9, 2020 17:01 MYT
Disember 9, 2020 17:01 MYT
KUCHING : Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing menegur Parti Warisan Sabah (Warisan) kerana tidak mengikuti jejak langkah Kerajaan Sarawak menuntut lebihan hasil daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) ketika Warisan mentadbir Sabah sejak 2018.
Menurut Masing, keengganan Warisan bersama-sama Sarawak mengambil tindakan undang-undang ke atas Petronas bagi menuntut cukai jualan negeri (SST) dipercayai 'takut' dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang pada ketika itu Perdana Menteri.
"Sebelum ini, apabila saya mengajak Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Petronas berkaitan SST lima peratus hasil minyak dan gas, mereka meminta saya berhenti selain menggelar saya 'budak nakal yang tiada disiplin'," katanya dalam kenyataan menerusi WhatsApp pada Rabu.
Selain itu, Masing berkata, Kerajaan Sabah yang baharu kini sedar akan hak terutama minyak dan gas yang selama ini dikawal selia Petronas.
"Sekarang, kerajaan negeri yang baharu tahu bahawa sumber minyak dan gas Sabah dikawal selia Petronas serta mahu syarikat minyak negara itu mengembalikan semula hasil tersebut. Saya mengucapkan semoga berjaya buat mereka (Sabah)," katanya.
Pada Selasa, Dr Jeffrey dalam satu kenyataan memberitahu Sabah juga akan berusaha untuk mendapatkan perjanjian sama dengan Petronas seperti yang dikecapi Sarawak.
GRS tegasnya, tidak akan mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ seperti Kerajaan Warisan dalam menuntut kembali hak-hak negeri di bawah MA63.
"Kami akan bekerjasama erat dengan Kerajaan Sarawak dalam memastikan semua hak di bawah MA63 dipenuhi dan membetulkan semua pelanggaran perjanjian yang telah terkumpul selama beberapa dekad," katanya.
#perjanjian penyelesaian komersial
#Sarawak
#Petronas
#Gabungan Rakyat Sabah GRS
#Perjanjian Malaysia 1963 MA63