Warisan kekal utuh, tiada wakil rakyat keluar parti - Shafie

Abdul Hafiz Mustadi
Disember 13, 2022 08:57 MYT
Shafie mendakwa ada pihak yang berniat jahat menyebarkan berita palsu dengan tujuan menjatuhkan Warisan. - FB @Shafie Apdal
KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) menafikan khabar angin bahawa terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripda parti itu yang cuba melompat keluar daripada parti.
Perkara tersebut ditegaskan oleh Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada Selasa sambil menyifatkan dakwaan yang ditimbulkan oleh pihak tertentu mengenai perkara itu sebagai berniat jahat dan cuba untuk menjatuhkan Warisan.
"Khabar angin dan cakap-cakap mengenai kononnya ada ADUN Warisan yang mahu keluar parti ditimbulkan semula sebagai percubaan berniat jahat pihak tertentu untuk melemahkan dan menjatuhkan Warisan.
"Parti Warisan kekal utuh dan dakwaan kononnya ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang melompat parti adalah tidak benar", ujar Shafie dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, Shafie menambah kesemua wakil rakyat Warisan yang hadir dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) di Kota Kinabalu pada hari yang sama turut menyatakan kesetiaan terhadap parti sambil menyatakan pendirian untuk terus menyokong kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kesemua ADUN Warisan juga telah mengulangi kesetiaan tidak berbelah bahagi mereka kepada parti.
"AMT dan wakil rakyat Warisan juga telah sebulat suara menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri", tambah Shafie.
#Warisan #Mohd Shafie Apdal #Sabah #lompat parti