Warisan guna moto "cuti-cuti balik kampung jumpa mertua"

Hasimi Muhamad
Januari 12, 2020 14:37 MYT
Calon Parti Warisan Datuk Karim Bujang (dua, kiri) berkata sesuatu kepada para penduduk sewaktu berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis di Kampung Saga-Saga hari ini. - Foto Bernama
Parti Warisan Sabah (Warisan) menggunakan teknik mesra rakyat apabila memilih moto "cuti-cuti balik kampung jumpa mertua dan saudara-mara" sebagai usaha menarik pengundi luar untuk pulang menunaikan tanggungjawab pada 18 Januari ini.
Menurut calonnya, Datuk Karim Bujang, dianggarkan hampir 30 peratus pengundi berdaftar berada di luar Parlimen Kimanis, dengan kebanyakan mereka tinggal di Kota Kinabalu dan Labuan, Sabah.
Justeru jelas Karim, pihaknya bakal melancarkan perkhidmatan logistik bagi membantu urusan pengundi luar.
"Kita telah kenal pasti dan mengadakan beberapa mesyuarat dengan ketua-ketua pengundi luar.
"Jadi hari ini, dua atau tiga hari nanti secara logistiknya, ia akan diefektifkan dan dilancarkan.
"Jadi, moto yang saya guna untuk pengundi luar balik mengundi ialah "cuti-cuti balik kampung jumpa dengan mak mertua, pak mertua, saudara-mara". Jadi dengan semangat itu, dia (pengundi) bukan sahaja mengundi, dia (juga) mahu tengok ibu dan bapa mertua," katanya kepada pemberita ketika membuat tinjauan di Pasar Tamu, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, bekas Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bongawan itu berkata, cuti Sambutan Tahun Baru Cina yang bakal disambut pada 25 dan 26 Januari ini tidak menghalang pengundi berdaftar untuk pulang awal ke kampung halaman.
"Sambutan Tahun Baru Cina akan berlangsung selama dua hari (25 dan 26 Januari) tetapi segelintir mereka akan pulang bersama keluarga. Saya rasa mereka akan pulang awal.
"Ia tidak menjadi masalah kerana Kota Kinabalu ke Membakut dan Kimanis tidaklah terlalu jauh," jelasnya.
Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Bongawan dan Membakut dengan jumlah 29,664 pemilih layak mengundi termasuk sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir luar negara.
Pengundi itu terdiri daripada 14,800 lelaki dan 14,864 perempuan dengan DUN Bongawan mempunyai 16,273 orang manakala DUN Membakut dengan 13,391 orang.
#ADUN #Karim Bujang #keluarga #kempen #Kimanis Memilih #Kota Kinabalu #Parlimen #pilihan raya kecil #PRK
;