Warisan elak 'Langkah Sheraton' berulang kembali

Petrus Bernard
April 14, 2022 11:30 MYT
Shafie semasa menghadiri iftar dan berbuka puasa bersama hampir 1,000 penduduk di kawasan Senallang, Masjid Inabah Kamal pada Rabu. - Astro AWANI
SEMPORNA: Parti Warisan (Warisan) tidak mahu Langkah Sheraton berulang yang dilihat tidak memberi kebaikan malahan mengakibatkan perpecahan dan ketidakstabilan politik negara.
Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendakwa ada dihubungi oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung hasrat ingin membentuk semula kerjasama menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Katanya, kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) lalu yang disebabkan Langkah Sheraton memberi kesan terhadap kestabilan politik tanah air dan tidak harus berulang semula.
"Dia ada nyatakan kepada Anwar Ibrahim, dia ada bincang dengan Anthony Lok, dia cakap dia akan buat sesuatu.
"Jadi saya beritahu dia, jangan masukkan saya, jangan libatkan saya kerana saya melihat itu satu langkah yang tidak harus dilakukan lagi kerana sedar ianya sudah dilakukan lebih awal melalui 'Sheraton Move' dan langkah itu bukannya boleh membawa kebaikan dalam penyatuan umat," dakwanya.
Ujarnya, kesan daripada tindakan itu menyebabkan keadaan politik negara tidak menentu sehingga hilangnya keyakinan daripada rakyat dan pelabur dari luar negara.
"Tengoklah akibatnya yang dapat kita lihat pada hari ini di mana keadaan politik negara yang tidak begitu stabil, cukup jelas sehingga keyakinan rakyat bukan hanya dalam negara, malahan pemimmpin dan pelabur luar negara cukup ketara dan amat membimbangkan kita.
"Untuk membetulkan ini bergantung kepada kita sebagai pemimpin dan keadaan tidak akan berubah selagi rakyat tidak mengubahnya," jelasnya lagi.
Tambahnya tiba masa kepimpinan negara harus melihat contoh negara lain yang pernah mengalami ketidakstabilan politik namun menjadi negara yang disegani selepas keadaan politiknya diperbetulkan.
Shafie berkata demikian ketika ditemui semasa menghadiri iftar dan berbuka puasa bersama hampir 1,000 penduduk di kawasan Senallang, Masjid Inabah Kamal, di sini pada Rabu.
Shafie turut menyampaikan bantuan bakul makanan dan duit raya kepada 100 orang golongan asnaf.
Turut hadir Timbalan Presiden Warisan, Datuk Jaujan Sambakong.
#Warisan #Langkah Sheraton #Mohd Shafie Apdal #Muhyiddin Yassin
;