Warisan akan bertanding di Semenanjung pada PRU15 - Shafie

Bernama
April 23, 2022 14:40 MYT
Menurut Shafie pucuk pimpinan parti itu akan meneliti kawasan Parlimen di Semenanjung yang berpontensi ditandingi dan boleh dimenangi pada PRU15 itu. - Gambar fail
LABUAN: Parti Warisan (Warisan) akan bertanding di beberapa kerusi Parlimen di Semenanjung pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang, kata Presiden parti Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Shafie berkata keputusan itu diambil bagi meneruskan saingan parti yang berpangkalan di Sabah itu di Semenanjung selepas kemunculan pertamanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lepas.
"Bukan sahaja kami mahu mempertahankan kemenangan (PRU14) di peringkat negeri Sabah, bahkan juga mahu menawarkan diri di Semenanjung," katanya kepada pemberita pada Majlis Sumbangan dan Iftar Warisan Labuan di sini semalam.
Menurut Shafie pucuk pimpinan parti itu akan meneliti kawasan Parlimen di Semenanjung yang berpontensi ditandingi dan boleh dimenangi pada PRU15 itu.
Mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yang menyatakan kesediaan pembangkang meneruskan memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang selepas 31 Julai depan, Shafie berkata Warisan tidak pernah menyokong agar MoU itu diteruskan.
"Apa yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, itu adalah hak dia untuk bersuara, bagi saya, saya tidak setuju dari awal lagi, sebab itu saya tidak menandatanganinya," katanya.
Pada Mac lepas, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke ketika membahaskan Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat berkata pembangkang bersedia meneruskan MoU transformasi dan kestabilan politik yang dimeterai Pakatan Harapan (PH) dengan Kerajaan Persekutuan pada September tahun lalu, selepas tarikh 31 Julai depan.
-- BERNAMA
#Mohd Shafie Apdal #Warisan #PRU15 #pilihan raya umum #Politik Malaysia
;