Waris Pekembar zahir solidariti kepada Zahid Hamidi terus terajui UMNO

Raja Hisyam Raja Zaid
November 25, 2022 11:55 MYT
Perhimpunan anjuran Waris Pekembar itu dihadiri kira-kira 100 orang yang menyokong keputusan dibuat Ahmad Zahid dalam menentukan hala tuju UMNO ketika ini. -Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Satu lagi perhimpunan solidariti menyokong kepimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO diadakan di Menara Dato' Onn pada Jumaat.
Perhimpunan anjuran Waris Pekembar itu dihadiri kira-kira 100 orang yang menyokong keputusan dibuat Ahmad Zahid dalam menentukan hala tuju UMNO ketika ini.
Menurut Pengerusi Waris Pekembar Perlis Shahbudin Embun, Zahid tidak wajar dipersalahkan memandangkan keputusan yang dibuat ketika ini telah dibincangkan secara kolektif selain perlu mentaati titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
"Zahid berani membuat keputusan yang tidak popular apabila menggugurkan nama-nama pemimpin veteran yang tidak lagi relevan.
"Memang ada di antara keputusan itu seolah-olah memakan diri, tetapi keputusan seperti ini perlu dilakukan walau berisiko kehilangan kerusi," katanya kepada media, di sini, hari ini.
Tegasnya, mereka yang menentang dan mendesak agar Ahli Parlimen Bagan Datuk itu meletakkan jawatan perlu diambil tindakan kerana menjadi barah kepada UMNO.
UMNO, katanya, perlu bergerak ke depan dengan kembali mengatur strategi seterusnya agar kekal relevan.
Sebagai anggota UMNO, katanya, segala hasrat untuk mendesak saf kepimpinan UMNO perlu diterjemahkan dalam pemilihan parti itu nanti.
Katanya, ini bukan masa yang sesuai untuk UMNO berpecah ketika parti itu berdepan dengan kekalahan yang teruk dalam Pilihan Raya ke-15 (PRU15) yang baru berakhir.
Perhimpunan tersebut yang dikawal ketat anggota keselamatan berlangsung aman dan berakhir sekitar jam 11 pagi tanpa sebarang kekecohan.
#Zahid Hamidi #Shahbudin Embun #Waris Pekembar #perhimpunan solidariti
;