Wanita UMNO tubuh kumpulan pemantau teliti dasar kerajaan

Astro Awani
Jun 8, 2023 19:56 MYT
Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Noraini Ahmad ketika berucap pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Wanita UMNO akan menubuhkan satu kumpulan pemantau bagi meneliti dasar dan polisi kerajaan bagi memastikan ia tidak memudaratkan orang Melayu.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad menjelaskan penubuhan kumpulan pemantau itu akan dikelolakan Sekretariat Undang-Undang Wanita UMNO yang diketuai Datuk Noraini Idris dan Pengerusi Majlis Hal Ehwal Agama Wanita, Prof Datuk Dr Fariza..
Noraini berkata, Wanita UMNO akan sentiasa memantau setiap dasar dan tawaran yang dibuat oleh Kerajaan Perpaduan.
"Dalam apa jua kapasiti - di dalam atau di luar kerajaan - Wanita UMNO akan sentiasa memantau setiap dasar dan tawaran kerajaan bagi memastikan orang Melayu tidak terlepas daripada menerima manfaatnya.
"Demikian juga dalam memartabatkan agama Islam. Wanita tidak akan sesekali berkompromi terhadap sebarang tindakan yang boleh mengancam kesucian dan mencemar keindahan Islam," katanya dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.
Menyentuh mengenai Kerajaan Perpaduan, Noraini berkata, dengan gabungan 19 parti komponen, ia bukan lagi satu kelompok kecil, sebaliknya kumpulan besar yang perlu dimanfaatkan potensinya.
"Jangan kita sia-siakan. Kita boleh satukan kekuatan setiap gabungan untuk dimanfaatkan bersama.
"Berbekalkan pengalaman yang pelbagai ini, kita mampu memberi tawaran terbaik untuk rakyat dan mengembalikan sokongan mereka," katanya.
Dalam pada itu, Noraini menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi mungkin akan menjadi penentu kepada jatuh bangunnya UMNO, dan Wanita akan menghadapinya dengan tekad yang kuat serta berani.
#PAU2023 #Wanita UMNO #noraini ahmad #kumpulan pemantau
;