Wanita UMNO tidak 'goyang' dengan sebarang cabaran - Kak Jat

Wan Syamsul Amly
November 27, 2017 07:36 MYT
SHAHRIZAT: Apa sahaja kemelut melanda UMNO tidak merebahkan atau menyebabkan parti menjadi pecah belah. - Gambar fail
Wanita UMNO tidak pernah terkesan dengan sebarang cabaran walaupun melibatkan beberapa kepimpinan tertinggi yang keluar dari parti itu sendiri.
Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, sayap parti itu juga mampu melalui apa sahaja dugaan mendatang tanpa mengetepikan kepentingan akar umbi.
Jelasnya, paling penting kemelut melanda tidak merebahkan atau menyebabkan parti menjadi pecah belah.
"UMNO menghadapi saat mencabar tetapi kita tidak goyang, yang mustahak bagaimana kita tangani saat-saat itu dan tindakan untuk memperkukuhkannya.
"Orang masuk UMNO dah lihat dari gambaran yang lebih besar, mampukah kerajaan kita tunjangi itu memimpin negara agar selamat, aman, makmur dan menjamin masa hadapan untuk semua," katanya dalam satu temu bual menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2017 di kediamannya di sini pada Isnin.
Shahrizat yang lebih senang membahasakan dirinya dengan nama 'Kak Jat' memegang jawatan Ketua Wanita UMNO setelah mengalahkan pencabarnya yang juga merupakan penyandang terdahulu iaitu Tan Sri Rafidah Aziz semasa Perhimpunan Agung UMNO 2009.
Ujarnya, Perhimpunan Agung UMNO kali ini akan menjadi pentas solidariti akar umbi menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 tidak lama lagi.
Shahrizat juga menjelaskan, kematangan pengundi di bandar akan memberi kelompok itu kesedaran terhadap kelebihan BN sendiri berbanding pembangkang.
Beliau mengakui cabaran menawan pengundi di bandar adalah lebih besar namun pembangunan yang dibuat kerajaan akan membuka mata masyarakat untuk terus menyokong BN.
Katanya lagi, keindahan UMNO seperti sebuah keluarga besar yang mewakili sayap-sayap parti sebagai ikon ibu, bapa dan adik beradik menjadi asas kekuatan dan kesefahaman sesama sendiri.
Shahrizat menambah Jalinan Rakyat (JR) Plus yang diinspirasi daripada Wanita UMNO sebelum ini merupakan satu langkah agresif parti untuk memantapkan lagi jentera BN.
Dalam pada itu katanya, acuan politik negara yang bercampur mengikut kaum menjadi ramuan BN dalam kesepakatan memacu keharmonian komponen selama ini.
Perhimpunan Agung UMNO 2017 akan berlangsung pada 5 sehingga 9 Disember ini bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
PAU 2017 akan bermula dengan program taklimat presiden dan diikuti majlis perasmian Perhimpunan Agung pergerakan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pada sebelah malamnya.
#Barisan Nasional #Kak Jat #Najib Razak #Perhimpunan Agung UMNO 2017 #politik #PWTC #Shahrizat Abdul Jalil #UMNO #Wanita UMNO
;