Wanita UMNO terima tugas sebagai komandan jentera PRU14
Bernama
Disember 7, 2017 17:34 MYT
Disember 7, 2017 17:34 MYT
Wanita UMNO sudah bersedia menggalas tanggungjawab sebagai komandan jentera Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Ketuanya Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
Sambil menyatakan bahawa sayap parti itu telah bersiap sedia sejak empat tahun lepas, pemimpin 'Ibu Terbaik Bangsa' itu berkata kekuatan Wanita UMNO adalah sentiasa di sisi rakyat.
"Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) sudah serah tugas dan tanggungjawab kepada kita sebagai komandan jentera PRU. Bila-bila masa apabila presiden tiup semboyan PRU kita dah sedia," katanya kepada pemberita selepas perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.
Shahrizat mengulas ucapan dasar presiden yang mengingatkan sayap parti Wanita, Pemuda dan Puteri supaya menggerakkan jentera serta turun padang untuk menggempur kubu lawan serta menawan hati rakyat.
Merujuk kepada ucapan Najib bahawa perjuangan UMNO melangkaui agama, bangsa dan negara, Shahrizat berkata ia merupakan satu peringatan yang baik kerana selama ini perjuangan parti keramat itu adalah untuk semua rakyat Malaysia.
Katanya perdana menteri turut memberi pilihan kepada rakyat sama ada memilih kerajaan di bawah Barisan Nasional (BN) atau pakatan pembangkang yang dikhuatiri akan mengangkat pemimpin cauvinis DAP, Lim Kit Siang sebagai perdana menteri.
"Terpulang kepada rakyat, mahu kah parti pembangkang yang jadi kerajaan? Adakah itu rakyat Malaysia mahu? Tepuk dada tanya selera," katanya.
Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin percaya bahawa ucapan perdana menteri hari ini bukan semata-mata ditujukan kepada para perwakilan UMNO tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia.
Katanya ucapan Najib juga jelas memberi peringatan bahawa pertaruhan untuk PRU kali ini sangat besar melibatkan hala tuju dan masa depan negara.
"Beliau telah mengupas pencapaian dan juga perancangan kita selepas pilihan raya, pastinya ucapan presiden itu disambut baik oleh semua perwakilan. Mesej tersebut sampai kepada kita bahawa ini bukan sekadar satu lagi pilihan raya," katanya.
Bagi Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin, sayap parti itu akan meneruskan usaha agresif menjejaki pengundi wanita muda seperti hasrat presiden, meskipun akur sekiranya calon pilihan raya tidak ramai daripada kalangan Puteri.
"Hari ini kita melihat banyak cabaran terutamanya bagi menangkis persepsi maka kita akan terus membantu berhabis-habisan dan menyampaikan kepada rakyat mengenai kejayaan-kejayaan kerajaan.
"Ini seterusnya menjadikan Malaysia antara negara yang unggul menjelang 2050," katanya sambil mengulangi bahawa Puteri tidak akan merajuk sekiranya tidak dipilih sebagai calon.
-- BERNAMA
#Barisan Nasional
#kerajaan
#Khairy Jamaluddin
#Lim Kit Siang
#Malaysia
#Mas Ermieyati
#PAU2017
#Perdana Menteri
#Perhimpunan Agung UMNO 2017
#pilihan raya
#PRU14
#Puteri
#Puteri UMNO
#Shahrizat Abdul Jalil
#UMNO
#wanita
#Wanita UMNO