Wanita UMNO tak boleh sekadar duduk dalam bayang-bayang lagi - Shahrizat

Astro Awani
Mac 2, 2023 19:57 MYT
Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, sayap parti itu juga harus mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
KUALA LUMPUR: Wanita UMNO perlu lantang dan mematikan kewujudan mereka dirasai dengan terus membawa suara dan keperluan wanita.
Calon Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, sayap parti itu juga harus mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurutnya, keberadaan itu penting, dan Wanita UMNO tidak boleh memimpin secara senyap, bergerak seperti bayang-bayang sahaja.
“Pengundi perlu melihat gelombang ‘tudung merah’ ini dalam komuniti mereka untuk mengetahui bahawa kita berdiri bersama mereka, dan untuk mereka,” katanya memetik laporan New Straits Times.
Pemilihan UMNO | Shahrizat umum bertanding jawatan Ketua Wanita
Menurutnya, Wanita UMNO mesti berada dalam kedudukannya semula dan terus membina kekuatannya.
“Wanita UMNO kini perlu untuk mencari pendekatan lain dan turun semula kepada rakyat bagi mendapatkan semula kepercayaan mereka dan kekal relevan.
“Dalam suasana politik ini, kita tidak mampu untuk berehat.
“Visi saya untuk Wanita adalah bagi mendapatkan semula suaranya, relevannya, dan kekuatannya dalam negara,” ujarnya.
BACA: Pemilihan UMNO: Mampukah Shahrizat saingi Noraini?
Pertembungan jawatan Ketua Wanita UMNO pada tahun ini bakal menyaksikan Shahrizat yang membuat kemunculan semula akan mencabar penyandang kerusi itu, Datuk Seri Noraini Ahmad.
Mengulas mengenai saingan itu, beliau mahu wanita selepeas ini diberikan ruang seluasnya untuk memimpin.
“Kita mesti memberi peluang kepada wanita untuk mengamalkan kepimpinan, supaya kita tidak perlu lagi mendengar pepatah lama bahawa wanita tidak berpengalaman,” katanya.
#Shahrizat Abdul Jalil #Wanita UMNO #Pemilihan UMNO #PRU15 #noraini ahmad
;