Wanita UMNO sambut baik pendirian bantah mansuh Akta Hasutan
T K Letchumy Tamboo
November 26, 2014 18:39 MYT
November 26, 2014 18:39 MYT
Pendirian yang dibuat oleh Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bahawa Wanita UMNO tidak bersetuju sama sekali untuk menghapuskan Akta Hasutan 1948, telah disambut baik oleh perwakilan sayap itu.
Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Batu, Kuala Lumpur, Norashekin Yusof memuji cadangan tersebut.
"Beliau cadangkan Akta Hasutan 1948 dikekalkan dan sememangnya kami menyokong usul ini. Kerana kami merasakan Akta Hasutan ini boleh mengawal keadaan dan menjaga keharmonian semua kaum yang terdapat di dalam negara ini.
"Kami bersetuju supaya ada penambahbaikkan kepada akta ini. Kerana Akta Hasutan ditubuhkan pada tahun 1948 dan sekarang kita ada media sosial dan sebagainya. Jadi sudah semestinya beberapa perkara diteliti juga untuk penambahbaikkan," katanya.
Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Tanjong Piai, Johor, Shamsiah Shapie berkata Akta Hasutan masih relevan.
"Apabila merujuk kepada Akta Hasutan, kita juga harus merujuk kepada sejarah. Untuk masyarakat majmuk seperti masyarakat kita untuk hidup di dalam satu prinsip yang sama, tentu akan ada undang-undang yang perlu dikuatkuasakan.
"Akta Hasutan masih relevan untuk memastikan negara kekal harmoni, aman dan terpimpin. Kalau kita mansuhkan Akta Hasutan, akan ada banyak kebocoran. Jadi, saya menyambut baik ucapan itu," katanya.
Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Ipoh Barat, Faizah Mat Amir berkata ucapan Shahrizat bertepatan dengan masa dan keadaan sekarang di mana pembangkang selalu ingin menghapuskan Akta Hasutan.
"Sekiranya ia dihapuskan, orang ramai boleh menjadi terlalu bebas dan membuat sesuatu tindakan yang di luar jangkaan sedangkan sebelum ini, Akta ISA (Keselamatan Dalam Negeri) dihapuskan dan golongan-golongan ini menjadikan rusuhan jalanan dan membuat perhimpunan haram yang membuatkan negara kita ditakuti oleh pelabur asing," katanya.
Pagi tadi, Shahrizat, semasa ucapan dasarnya di persidangan Pergerakan Wanita UMNO di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, berkata Wanita UMNO tidak bersetuju sama sekali untuk menghapuskan Akta Hasutan 1948.
Shahrizat berkata untuk itu, Wanita UMNO akan menggerakkan satu kempen untuk mendapatkan satu juta tandatangan untuk menggesa kerajaan supaya tidak memansuh Akta itu demi keselamatan, keamanan dan perpaduan tanah air.
"Satu juta tandatangan ini akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak seawal mungkin sebagai bukti bahawa Wanita UMNO memandang serius tentang perkara ini dan dengan harapan Perdana Menteri dan kerajaan akan mengambil tindakan yang sewajarnya.
"Wanita UMNO mendesak kerajaan bagi mengekalkan pemakaian Akta Hasutan 1948 dengan penambahbaikan yang bersesuaian dengan mengambilkira keperluan menjaga hak-hak seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, menjamin keselamatan rakyat dan kepentingan Negara," kata Shahrizat di dalam ucapannya.
Walau bagaimanapun, Shahrizat berkata mana-mana peruntukan Akta Hasutan 1948 yang tidak lagi relevan, boleh dipinda ataudimansuhkan dengan segera contohnya, peruntukan yang menghalang rakyat mengkritik Kerajaan dan pentadbiran sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Akta Hasutan 1948 yang sedia ada.