Wanita UMNO perlu proaktif sebagai pencadang kepada dasar - Hishammuddin

Bernama
November 29, 2016 07:44 MYT
HISHAMMUDDIN: Wanita perlu menjadi suara yang lantang memberikan pendapat dan menentang sebarang perkara yang boleh membinasakan parti.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mahu Pergerakan Wanita UMNO bersifat lebih proaktif serta dominan dan bukan sekadar menjadi pengikut dan pelaksana dasar parti semata-mata.
Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata sayap parti itu, sebagai tulang belakang parti, Wanita perlu bertindak lebih ke hadapan dalam mengusul dan merencanakan dasar-dasar tersebut.
"Wanita perlu menjadi suara yang lantang memberikan pendapat dan menentang sebarang perkara yang boleh membinasakan parti.
"Lebih penting, Wanita harus menjadi daya dan kuasa yang mampu mempengaruhi hala tuju dan matlamat parti," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Nadi Negara 2016 sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2016, di sini hari ini.
Hishammuddin turut menggariskan lima pelan strategik yang perlu dilakukan Pergerakan Wanita UMNO bagi memantapkan lagi peranan sayap parti itu, antaranya mencari solusi segera mengatasi masalah dan kekurangan dalam pergerakan itu.
Wanita UMNO juga disaran memainkan peranan untuk membantu golongan wanita khususnya dalam menangai isu-isu kos sara hidup, penyertaan dalam golongan pembuat keputusan dan persaingan dalam perniagaan.
Sayap parti itu juga diingatkan untuk segera merangka strategi gerakan Wanita dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.
Terdahulu, Hishammuddin turut menyampaikan anugerah kepada 23 penerima Anugerah Nadi Negara dan dua penerima dermasiswa serta tiga penerima anugerah khas tokoh pendidik 2016.
Anugerah Nadi Negara yang diperkenalkan sejak tujuh tahun lepas bertujuan menghargai graduan-graduan lepasan universiti tempatan dan luar negara yang terlibat secara aktif dalam bidang politik, ekonomi dan perniagaan.
-- BERNAMA
##PAU2016 ##UMNO2016 #Hishammuddin Hussein #pau2016 #Perhimpunan Agung UMNO #UMNO #umno2016 #wanita