Wanita UMNO perkenal 'kawan' perkasakan perpaduan dan integrasi nasional

Bernama
November 19, 2015 08:15 MYT
kelas pelbagai bahasa tersebut menekankan kepada asas komunikasi harian yang dapat memberi keyakinan kepada setiap anggota Wanita UMNO untuk diaplikasikan dalam program-program kemasyarakatan khususnya yang dianjurkan oleh parti itu. - Gambar Fail
Pergerakan Wanita UMNO Rabu melancarkan program Komunikasi Wanita Nasional (KAWAN) dalam usaha memperkasakan nilai-nilai perpaduan dan integrasi nasional.
Ketua pergerakan itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata KAWAN mengetengahkan dua strategi utama iaitu pendidikan dan sosial.
"Buat permulaan, kami sudah mulakan dengan kelas bahasa Mandarin iaitu Mandarin Journey For Wanita (MJ4W) selama tiga bulan kepada 46 anggota Wanita UMNO Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
"Kelas yang sama juga akan diperkenalkan bermula Februari ini dan projek itu akan dikembangkan ke negeri-negeri lain seperti Perak, Pulau Pinang dan Johor," katanya pada sidang akhbar bersempena majlis pelancaran program KAWAN di sini, pada Rabu.
Majlis tersebut dirasmikan Menteri Kewangan Kedua merangkap Bendahari UMNO Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang turut menyampai sijil MJ4W kepada 46 anggota Wanita UMNO yang telah tamat kelas itu.
Shahrizat berkata kelas pelbagai bahasa tersebut menekankan kepada asas komunikasi harian yang dapat memberi keyakinan kepada setiap anggota Wanita UMNO untuk diaplikasikan dalam program-program kemasyarakatan khususnya yang dianjurkan oleh parti itu.
Mengulas mengenai Perhimpunan Agung UMNO bulan depan, Shahrizat berkata antara usul yang akan dibawa pergerakan itu adalah berkaitan isu keganasan seperti kumpulan militan IS dan keupayaan wanita dalam melonjakkan ekonomi negara.
#Komunikasi Wanita Nasional #Mandarin Journey for Wanita #MJ4W #Shahrizat Jalil
;