Wanita UMNO nafi minta Noraini berundur

Hasimi Muhamad
Februari 6, 2023 14:35 MYT
Datuk Rosni Sohar (gambar) berkata tohmahan bahawa Noraini telah memanggil mesyuarat untuk memaksa Ketua Wanita Negeri menyatakan sokongan dari setiap Wanita Bahagian, juga tidak benar - Foto/Wanita UMNO
KUALA LUMPUR: Wanita UMNO menolak dakwaan bahawa terdapat desakan agar Ketua Wanitanya, Datuk Seri Noraini Ahmad berundur daripada mempertahankan jawatan tersebut pada pemilihan parti akan datang.
Setiausahanya, Datuk Rosni Sohar berkata tohmahan bahawa Noraini telah memanggil mesyuarat untuk memaksa Ketua Wanita Negeri menyatakan sokongan dari setiap Wanita Bahagian, juga tidak benar.
Sebaliknya tegas beliau, kebanyakan negeri menyatakan sokongan mereka tanpa paksaan kepada Ahli Parlimen Sulong itu untuk terus menerajui Wanita UMNO.
"Tiada mesyuarat Ketua Wanita Negeri diadakan seperti yang dikhabarkan. Jauh sekali paksaan pada Ketua Wanita Negeri untuk memberi sokongan kepada Noraini. Angka yang disebutkan juga adalah tidak benar.
"Kebanyakan Negeri yang menyatakan sokongan mereka terhadap Noraini dan Datuk Norliza Rahim (Naib Ketua Wanita UMNO) untuk terus menerajui Wanita UMNO Malaysia adalah dengan kerelaan mereka sendiri.
"Ia seiring dengan usul yang dibawa di Perhimpunan Agung Wanita yang lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Rosni berharap Wanita UMNO memberi lebih fokus kepada persiapan bagi menghadapi pilihan raya di enam negeri akan datang, dengan tumpuan untuk memperbaiki dan mempertingkatkan gerak kerja.
Ujar beliau, pemilihan UMNO tidak seharusnya menjejaskan gerak kerja yang telah dijalankan.
Terdahulu, satu laporan media melaporkan bahawa Noraini digesa untuk berundur pada pemilihan parti akan datang.
Ia selepas laporan mendakwa lebih separuh Ketua Wanita UMNO Bahagian di seluruh negara meminta agar Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil kembali menerajui kepimpinan Wanita UMNO Malaysia.
Ketua Wanita UMNO Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah dipetik sebagai berkata, seramai 147 Ketua Wanita UMNO Bahagian membuat keputusan itu dalam satu pertemuan dengan Shahrizat baru-baru ini.
#UMNO Wanita #Pemilihan UMNO #noraini ahmad #Rosni Sohar
;