Wanita UMNO mahu ubah landskap

Wan Syamsul Amly, Khairunnisa Kasnoon, Hans Yusoff, Harits Asyraf Hasnan
Disember 3, 2016 17:58 MYT
Menurut Shahrizat, pemerkasaan wanita perlu menjadi teras kepada keseimbangan ekosistem politik dan ekonomi negara. - Foto Astro AWANI / Shahir Omar
Landskap politik negara akan berubah sekiranya 30 peratus wanita menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menegaskan pergerakan itu akan mempersiapkan diri sekiranya hasrat melihat 30 peratus calon wanita bertanding dalam pilihan raya umum akan datang direalisasikan.
"Maka, semasa perasmian Wanita, Pemuda dan Puteri, apabila Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kata nak bisik dengan presiden untuk 30 peratus calon wanita, kami bukan hanya menyambut baik, malah akan mempersiapkan diri untuk menyahut cabaran ini.
"Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan. Saya percaya bisikan itu akan didengar oleh presiden. Sebenarnya, kesemua legasi yang kami, wanita pada hari ini perjuangkan, adalah lebuhraya politik untuk Puteri menikmatinya," katanya semasa ucapan penggulungan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Ketika ini, Wanita BN hanya mempunyai 14 ahli parlimen, di mana lapan wanita UMNO dan enam wanita parti komponen.
Pada masa sama jelas Shahrizat, Exco Wanita telah mentransformasikan program yang diperkenalkan antaranya jentera jalinan rakyat yang kini terdiri daripada ahli-ahli cawangan, Pemuda, Puteri, orang perseorangan dan anggota Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
"Selain itu, dalam menghadapi peperangan dunia siber, WanitaMAYA kini menjadi pahlawan digital Wanita UMNO di media sosial.
"Wanita selaku juara kebajikan melalui Skuad Sayang, juga telah ditenagakan lagi dengan Skuad Sayang Plus bagi memperluaskan capaian kepada kumpulan sasar dengan kerjasama Wanita BN, NGO-NGO dan tenaga pakar kesukarelaan."
Justeru katanya, pemerkasaan wanita perlu menjadi teras kepada keseimbangan ekosistem politik dan ekonomi negara.
##PAU2016 ##UMNO2016 #pau2016 #Perhimpunan Agung UMNO #Shahrizat Jalil #UMNO #umno2016 #Wanita UMNO
;