Wanita UMNO kecam tindakan Anina saman Najib

Astro Awani
Ogos 29, 2015 10:03 MYT
Anina (gambar) berkata dia tidak gentar jika dikenakan tindakan oleh parti.
Wanita UMNO mengecam tindakan tindakan ahlinya Anina Saaduddin yang memfailkan saman terhadap Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak.
Jelas ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, ia adalah tindakan peribadi yang melanggar peraturan parti.
"Tindakan beliau jelas melanggar perkara 20.7, Perlembagaan UMNO yang menyatakan ahli yang membawa perkara parti atau keahliannya ke mahkamah tanpa mematuhi sepenuhnya peraturan parti akan digugurkan keahlian," kata Shahrizat dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama, tegas Shahrizat, Wanita UMNO akan terus menyokong Najib sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri.
Saman yang difailkan semalam di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur meminta Najib menjelaskan perihal penerimaan derma politik bernilai RM2.6 billion dalam akaun peribadinya.
Najib bagaimanapun sudah menjelaskan wang itu bukan untuk kepentingan peribadi.
Dalam saman berkenaan Anina turut menamakan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Abdul Rauf Yusof sebagai defendan kedua.
Dia juga memohon perintah injunksi bagi menghalang UMNO mengambil tindakan keatasnya selagi saman tidak dibatalkan.
Dalam mesyuarat agung UMNO Bahagian Langkawi pada 9 Ogos, Anina telah menyuarakan kekecewaan terhadap Najib serta mendakwa mendapat sokongan dari kesemua ahli UMNO.
#Anina Saaduddin #Najib Razak #saman #Shahrizat Jalil #Wanita UMNO Langkawi